KERAJAAN tidak bercadang untuk melaksanakan program vaksinasi Mpox untuk rakyat negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, belum ada perbincangan mengenai perkara itu setakat ini, namun kajian mendalam perlu dilakukan sekiranya ada keperluan untuk melaksanakannya.
“Kami belum membincangkan vaksin ini lagi, tetapi jika ada keperluan, kami akan mengkaji sepenuhnya keperluan berkaitan Mpox. Jika melihat garis panduan dan cara jangkitan, ia boleh dielakkan dengan mengamalkan kebersihan diri dan langkah berjaga-jaga lain.
“Kebiasaannya simptom jangkitan Mpox dapat dilihat dengan jelas melalui tanda fizikal seperti bintik-bintik pada badan dan pesakit dapat merasai kesannya,” katanya pada Selasa.
BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena mpox
BACA LAGI: Perokok hisap vape 4 kali ganda berisiko hidap kanser paru-paru
Dua negara yang berada di luar Afrika melaporkan kes mpox selepas WHO mengisytiharkan jangkitan itu sebagai darurat kesihatan global baru-baru ini. — Agensi
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, setakat ini tiada kes jangkitan baharu direkodkan dalam negara, namun pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa.
Selain itu, beliau berkata, buat masa ini tiada halangan kepada rakyat negara ini untuk ke luar negara, tetapi perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Lukanisman berkata, kerajaan ketika ini sedang melaksanakan kawalan ketat di pintu masuk negara serta sempadan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemasukan pengembara dari luar.
"Setakat ini, proses yang kita lakukan adalah sama seperti ketika pandemik (Covid-19).
"Semua langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi-agensi yang berkenaan terutama sekali di pintu masuk imigresen, lapangan terbang dan juga di sempadan serta kita akan rujuk kepada mereka jika ada keperluan,” katanya.
Sebelum ini, KKM dalam kenyataan memaklumkan sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pengawasan dan sokongan berkaitan Mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa Mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram