NAMA pasangan kembar Muhammad Abid dan Muhammad Amin semakin dikenali ramai terutama apabila mereka dinobatkan sebagai pemenang bagi Education Creators of The Year Awards 2024.
Manakan tidak, konten bermanfaat yang sering dimuat naik menerusi laman TikTok berjaya mencuri hati penonton dengan bakat kreatif yang ditonjolkan.
Malah, kemampuannya dalam menghasilkan sesuatu reka bentuk menjadi inspirasi buat ramai dengan kebolehan pasangan kembar yang berumur 24 tahun itu.
BACA LAGI: Tonton filem Titanic pukul 2 pagi cetus hobi cipta kapal ikonik hanya berbekal kotak ubat gigi
BACA LAGI: Dulu jiran kini suami isteri, pencinta motosikal retro sanggup 'ride' hingga ke Kemboja
Pasangan kembar, Amin (kanan) dan Abid (kiri) banyak menghasilkan idea kreatif.
Anak jati Selangor itu berkata, mereka tidak menyangka mampu memenangi TikTok Awards berkenaan memandangkan lebih ramai individu lain yang berbakat besar.
"Saya tengok pesaing lain semua dengan berlatar belakang peguam, financial dan ada juga daripada Human Resources. Majoriti yang masuk bertanding suka kongsi pasal fakta di media sosial.
"Jadinya saya tak expect mampu menang," katanya kepada Majoriti.
Apatah lagi, Abid berkata, mereka pernah berada di kelas belakang yang pastinya sering dipandang rendah sewaktu memasuki Tingkatan Empat.
"Dari kecil hingga tahun 2016 kami sekolah agama.
"Tetapi, pada 2017 kami masuk Sekolah Menengah Kebangsaan di Manjung untuk membolehkan kami miliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Sewaktu menukar persekolahan dan result dinilai, kami ditempatkan di kelas belakang iaitu kelas gagal Bahasa Melayu dan sejarah kerana tak memenuhi kriteria," katanya.
Namun, sewaktu berada di pertengahan tahun 2017, Amin dan Abid diberitahu untuk ditukarkan ke kelas lebih atas, namun menolak perkara itu agar dapat membantu pelajar yang lain.
"Kami decide berada di kelas yang sama kerana ayah kami pesan supaya Abid dan Amin bantu pelajar lain dalam SPM, insya-ALLAH Tuhan akan permudahkan," katanya.
Usaha membuahkan hasil, pasangan kembar itu berjaya memperoleh dekan dalam Diploma Rekaan Industri (Major Pengangkutan) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah dan kini baru selesai menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam program yang sama di UiTM Merbok.
Abid berkata, dia mulai aktif dalam menghasilkan konten sejak belajar di universiti.
Istana ciptaan Abid dan Amin yang memiliki arnab bergerak versi miniatur.
Banyak konten menarik yang dikongsikan mampu menjadi satu ilham untuk masyarakat cuba mengaplikasinya sendiri di rumah.
Konten pertama mereka adalah berunsur ilmu dalam melipat baju yang menjadi perhatian ramai pelajar untuk mengetahui teknik lipatan yang betul.
"Pelajar universiti kadang mereka tak sempat untuk lipat baju kerana sibuk dengan kelas dan sebagainya. Jadi itu yang kami ajar cara paling mudah untuk libat baju," katanya.
Dalam banyak-banyak idea kreatif yang dihasilkan, Abid berkata, konten paling sukar untuk dicipta mereka adalah mengenai pembikinan muzium coklat yang berkonsepkan ala-ala fantasi.
"Waktu itu untuk mengecat barangan di muzium seperti belon panas sahaja memakan masa dua hari.
"Ada satu masa, belon panas yang kami hasilkan itu terjatuh di lantai dan pecah. Jadi terpaksa cat semula," katanya.
Belon panas merupakan salah satu bahagian yang sukar untuk dihasilkan oleh Amin dan Abid.
Menceritakan pengalamannya mulai terjebak dalam menghasilkan muzium berkenaan, Abid berkata, pengasas coklat Nokona, Adlina Jamaludin melihat konten mereka di TikTok dan tertarik untuk bekerjasama dalam menghasilkan muzium coklat pertama di Kedah.
"Tujuan utama hasilkan muzium ini adalah untuk sampaikan sejarah kilang nokona tetapi dalam bentuk fantasi dan magika.
"Waktu itu, dia beritahu untuk kami cipta sesuatu yang seumpama berada di alam magika.
"Jadi, saya dengan Amin berfikir untuk buat seperti ala-ala Willy Wonka dari filem Charlie and The Chocolate Factory. Kami cipta macam satu taman tema," katanya.
Berbekalkan masa sekitar dalam tujuh bulan, pasangan kembar itu berjaya menghasilkan muzium coklat Nokona dengan bantuan bapanya, Othman Md Hashim.
"Ayah saya kerja juruteknik di Tenaga Nasional Berhad (TNB). Saya dengan Amin pula mahir dalam rekaan. Jadi ayah bantu dan tunjuk ajar dalam ilmu-ilmu berkaitan wiring dan menggerakan peralatan yang dihasilkan," katanya.
Aiskrim kreatif yang dibuat oleh Adib dengan berkonsepkan ala-ala Willy Wonka.
Antara barangan unik yang dicipta untuk muzium tersebut adalah aiskrim, istana coklat, musang, macaron, pokok koko, peralatan mesin pembuatan koko dan belon panas.
"Untuk siapkan dalam masa tujuh bulan memang sangat susah kerana kami perlu ubah bentuk petak kotak polistirena menjadi bentuk aiskrim, berbentuk arnab dan berbentuk bentuk coklat.
"Bahagian paling susah juga untuk hasilkan istana kerana perlukan ketelitian.
"Untuk letak lampu juga perlu berhati-hati supaya tidak kelihatan pelik," katanya.
Bagaimanapun, Abid bersyukur apabila projek muzium coklat yang berjaya direka itu kini menjadi salah satu tarikan pelancong untuk ke Kedah.
"Kadang ada pelajar sekolah daripada Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan datang ke muzium coklat untuk buat lawatan. Exco pelancongan, kebudayaan dan keusahawanan, Datuk Mohd Salleh Saidin pun pernah datang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram