Individu pertama lukis mural Sultan Pahang sampai diperkenan, Suhaimi Ali pernah 'terbang' hasilkan mural sampai ke di Indonesia


Suhaimi memiliki identiti sendiri untuk menghasilkan sesuatu lukisan mural.

PELUKIS mural sememangnya sukar untuk ditemui memandangkan ia memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi untuk mencipta gambaran luar biasa di sesuatu ruang atau dinding.

Malah, penghasilan mural memerlukan tenaga yang banyak kerana melibatkan permukaan besar yang pastinya hanya orang tertentu mampu hasilkan.

Seorang pelukis, Muhammad Suhaimi Ali semakin dikenali ramai kerana kerap memuat naik konten hasil kerjanya menerusi media sosial.

BACA LAGI: Dari kelas belakang ke 'selempang pink' UiTM, kreativiti pasangan kembar pikat pengguna TikTok

BACA LAGI: Pensyarah 'upgrade' wayang kulit tradisional jadi 3D, mahu anak muda berkembang ilmu dalam robotik

WhatsApp Image 2024-08-25 at 4.46.23 PM

Suhaimi membuat lukisan mural pada dinding kawasan Medan, Indonesia.

Tidak hanya terkenal dalam negara, Suhaimi Ali juga mendapat perhatian negara jiran, iaitu Indonesia yang 'melamarnya' untuk menconteng dinding di kawasan sekitar Medan.

"Pihak pengurusan Medan Street Art yang jemput saya. Ambil masa dua hari sahaja untuk siapkan," katanya kepada Majoriti.

Tampil menjelaskan lanjut, Suhaimi berkata, seni mural yang dilukis di sekitar dinding Medan itu sangat istimewa baginya.

"Sebab lukisan saya buat mengisahkan tentang bantal busuk kesayangan isteri saya yang dari kecil sampai sekarang ada dengan dia.

"Makna di sebalik lukisan itu adalah lambang kesetiaan," katanya.

Tidak hanya itu, anak kelahiran Kampung Seberang Takir, Terengganu itu juga pernah disapa oleh Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak untuk 'menconteng' di Lorong Seni Muallim.

"MDTM bagi saya peluang untuk jadikan sebuah lorong sebagai signature mural saya," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-25 at 4.35.11 PM

Isteri Suhaimi, Nur Hana menjadi model sebagai pemakan pau yang dilukisnya.

Suhaimi berkata, itulah sebuah projek yang menurutnya paling mencabar kerana memerlukan modal yang tinggi.

"Waktu itu saya cuba kaji tentang kawasan Tanjung Malim terkenal dengan apa untuk dilakarkan ke mural.

"Tanya orang sana sini apa yang menarik kerana saya lebih mahu mempromosikan kawasan itu.

"Apabila tahu sana terkenal dengan pau, jadinya saya buat lukisan mural isteri saya tengah makan pau.

"Saya juga lukis air terjun berbentul 3 three-dimensional (3D)," katanya.

Suhaimi berkata, dia mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan mural gergasi di dinding kawasan lorong Seni Muallim.

"Biasanya orang lukis sesuatu yang berbentuk alam akan guna warna hijau. Tetapi, saya tak nak mural nampak seperti mural-mural lain.

"Jadinya, saya campurkan dengar warna warni supaya nampak kelainan daripada pelukis yang lain.

"Guna banyak warna juga saya buat supaya lukisan saya nampak harmoni," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-25 at 7.55.07 PM

Proses pembikinan lukisan mural Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memiliki idea kreatif, Suhaimi pintar untuk mencampurkan pelbagai warna untuk menghasilkan sesuatu warna yang baharu.

"Boleh katakan kalau mural yang saya buat memang dekat seribu ton warnalah. Memang terlampau banyak sebab saya nak cipta kelainan.

"Kalau ikut ton warna yang belum dicampurkan pula kesemuanya ada dalam 20 ton berbeza," katanya.

Lebih menakjubkan, Suhaimi juga merupakan individu pertama yang berani melukis gambar Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu bergelar sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pada 2020.

Lukisan itu dibuat di dinding kawasan Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin negara atas usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat ketika penularan wabak COVID-19.

"Sewaktu itu, tengah pergolakan politik tetapi nama Agong selalu naik di media sosial. Jadinya, saya berfikir apa kata saya buat penghargaan dengan cara melukis gambar Agong sebagai mural.

"Tetapi saya tak tahu benda itu salah. Ada protokol yang melarang, kita tak boleh sebenarnya lukis mural Agong di tempat awam. Pada awalnya, saya juga mendapat teguran daripada orang istana.

"Tetapi tak sangka apa yang saya buat ini mendapat perhatian Agong. Agong suka hasil kerja saya," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-25 at 7.54.48 PM (1)

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah perkenan lukisan mural yang dibuat.

Lukisannya yang mengagumkan itu menyebabkan Agong berkenan untuk berangkat melawat mural gergasi itu bersama diiringi Tengku Ampuan Pahang iaitu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama anakanda, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Suhaimi berkata, dia juga dikurniakan surat penghargaan dan cendera kenangan daripada Sultan Pahang.

Sebelum ini, Suhaimi mendapat pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Halus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Kini, Suhaimi berkata, dia sudah menghasilkan lebih 300 mural di pelbagai kawasan.

"Banyak negeri sudah saya buat seperti di sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Perak.

"Saya harap dapat conteng mural di satu Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram