AKTIVITI larian yang mendorong kepada gaya hidup sihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dalam dan luar negara tanpa mengira peringkat umur.
Buktinya, setiap kali program larian dibuat, pastinya ramai individu tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk merasai pengalaman bersaing dalam komuniti 'runners'.
Perlu diakui, kekerapan penglibatan dalam aktiviti sedemikian boleh mendatangkan 'ketagihan' sehingga ada yang sanggup mencari masa untuk berlatih berlari walaupun ia sekadar hobi.
BACA LAGI: Tonton filem Titanic pukul 2 pagi cetus hobi cipta kapal ikonik hanya berbekal kotak ubat gigi
BACA LAGI: Dulu jiran kini suami isteri, pencinta motosikal retro sanggup 'ride' hingga ke Kemboja
Hanim bersama suaminya, Fitri mengikuti acara Kuala Lumpur City Half Marathon.
'Ketagihan' terhadap hobi itu bukanlah dalam erti kata negatif, tetapi lebih kepada perasaan 'ketagihan' yang sihat disebabkan manfaat fizikal dan mental yang diperoleh.
Ramai yang mendapati bahawa aktiviti larian mampu memberi kepuasan peribadi kerana ia melibatkan pencapaian sasaran samada untuk jarak yang lebih jauh atau masa yang lebih pantas.
Begitulah yang dirasai buat penggemar aktiviti larian, Dyg Farah Hanim Abu Bakar yang lebih popular dalam dunia 'pelari' dengan nama Kakneem atau Hanim.
Hobi 'mahal' itu bermula sewaktu dia berada di University College Dublin, Ireland bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Pembedahan, Obstetrik dan Ginekologi.
"Waktu berada di Dublin, budaya 'Mat Salih' di sana memang terkenal dengan gaya hidup sihat.
"Irish people kan! Memang aktif buat aktiviti larian dengan anak-anak mereka," katanya kepada Majoriti.
Sejak detik itulah, Kakneem mulai menceburkan diri buat pertama kalinya dalam larian maraton iaitu menerusi acara Dublin Maraton 2014.
"Saya sertai maraton penuh 42.2 kilometer (km) seorang diri kerana waktu itu belum berkahwin.
"Suasana memang meriah yang buatkan saya rasa gembira sangat-sangat untuk sertai walaupun saya bukanlah seorang pelari yang sudah mulai dari zaman persekolahan. Time sekolah dulu saya jenis yang fokus dengan pelajaran sahaja tak bersukan pun," katanya.
Hanim sewaktu kali pertama memasuki larian maraton iaitu menerusi acara Dublin Maraton 2014.
Dia yang berusia 32 tahun itu semakin aktif dalam larian selepas mendirikan rumah tangga bersama atlet pelari pecut Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Fitri Mohd Akhir. Ibu kepada dua orang anak itu berkata, dia akan meluangkan masanya untuk berlatih dalam larian selama enam kali dalam seminggu.
Terdapat banyak jenis sesi kelajuan (speed session) yang biasa digunakan oleh Hanim dalam latihan untuk meningkatkan kelajuan dan daya tahan dirinya.
Antaranya adalah dengan melakukan long run sekali seminggu selain interval training (latihan jeda), tempo run dan fartlek run.
Hanim juga sering berlatih larian pada pace yang santai dan mudah, iaitu dengan melakukan easy run agar dapat mengekalkan konsistensi latihan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada tubuh.
Easy run merupakan komponen penting dalam pelan latihan larian yang seimbang yang membantu pelari mengekalkan kelajuan dan prestasi jangka panjang tanpa risiko keletihan atau kecederaan.
Pastinya setiap pelari akan mengalami masalah kekejangan kaki yang menyebabkan kesakitan sehingga menghentikan larian buat seketika.
Hanim membawa anaknya menggunakan stroller sambil berlari.
Bijak mengawal keadaan, Hanim kebiasaannya akan membawa produk semburan pelega bagi meredakan kesakitan sewaktu berlari.
"Semburan (spray) tahan sakit memang biasa akan bawa waktu berlari. Jadi memang selepas spray itu buat aktiviti regangan dan sambung semula lari. Kalau sakit sangat bergerak perlahan sedikit," katanya.
Sejak 2023, Hanim mulai aktif berlari sambil membawa jogging strolley anak bagi mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan keluarga kecilnya.
"Mula-mula pakai satu stroller sahaja. Selepas itu saya dengan suami beli pula dua jogging stroller memandangkan anak kami ada dua orang.
"Anak rasa selesa kerana jogging stroller bukan seperti stroller biasa. Fungsi dia sangat mementingkan keselamatan, ada handbrake dan sebagainya," katanya.
Hanim bersama Fitri menyertai acara Alor Setar Merdeka Half Marathon 21.4km.
Kini, banyak acara larian yang pernah disertainya dengan membawa kedua anaknya menggunakan strolley.
Lebih mengagumkan, kedua pasangan sama cantik sama padan itu sanggup 'terbang' ke Hatyai demi acara maraton.
Antaranya adalah Merdeka Run Butterworth (5 km), Hari Sukan Negara Pulau Pinang (10km), Festival Arena Uniti Design Village, Pulau Pinang (5km), Penang Bridge International Marathon (half maraton 21.67km), Bayan New Year Run (10 km), Kl City Day Half Marathon di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (20.3km), Hatyai Half Marathon (21.1km) dan Pantai Full Marathon (42.2km).
"Saya memang jenis pergi mana-mana sekali pun akan bawa anak. Kalau anak habis taska saya akan ambil dan duduk di klinik sekali dengan saya kerana suami saya sambung A Doctor of Philosophy (PhD)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram