MBDK nafi Taman Kucing Klang terbiar, kes 6 ekor mati sebenarnya palsu


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang, Selangor seperti tular di media sosial sejak Ahad adalah berita palsu.

TIADA sebarang penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang, Selangor seperti tular di media sosial sejak Ahad, tegas Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan setelah mengadakan tinjauan di taman berkenaan.

Menurut Noraini Roslan, beberapa penambahbaikan akan dilakukan segera oleh MBDK dan akan dibantu pihak Sime Darby Property dalam masa terdekat bagi keselesaan kucing yang ada di taman itu.

BACA LAGI: Tonton filem Titanic pukul 2 pagi cetus hobi cipta kapal ikonik hanya berbekal kotak ubat gigi

BACA LAGI: Dulu jiran kini suami isteri, pencinta motosikal retro sanggup 'ride' hingga ke Kemboja

“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini namun beberapa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing yang didakwa lapar dan terbiar.

“Malahan, ada kematian kucing dalam jumlah yang banyak juga tidak benar dan hanya seekor sahaja yang mati (itu pun diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, pihaknya akan memasang jaring bagi mengelak keadaan panas di taman itu.

Pihak Sime Darby juga katanya, akan membina anjung bagi keselesaan kucing di taman itu serta akan turut memberi perhatian kepada penjagaan serta pemakanan haiwan berkenaan.

Tambahnya lagi, kucing bersifat territorial di mana ia memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan pelbagai perkara tanpa sebarang sekatan dan ia akan dilepaskan pada waktu pagi.

“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap Taman Kucing Klang ini begitu positif dan membanggakan," katanya.

Untuk rekod, Taman Kucing Klang ini dibina oleh Sime Darby Property tetapi telah diserahkan kepada MBDK.

Operasi dan penyelenggaraannya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kesihatan MBDK.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menggesa pihak yang bertanggungjawab terhadap taman kucing itu untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan yang menyatakan terdapat pengabaian kepada kebajikan haiwan berkenaan.

Ia berikutan video tular berdurasi lebih seminit yang memaparkan kekecewaan seorang pengunjung berhubung keadaan kucing di taman itu yang didakwanya tidak terjaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram