'Cari tempat tak diganggu berbulan madu', Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tak sabar timang cucu


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Anakanda Sultan Pahang Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar dalam istiadat bertandang pada majlis perkahwinannya.

MAJLIS bertandang di sebuah hotel di ibu negara pada Ahad lepas melengkapkan istiadat persandingan anakanda kepada Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar.

Mengimbau momen indah pada majlis di sebelah pengantin lelaki, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin memuat naik beberapa keping gambar sewaktu acara berlangsung dengan penuh tradisi di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

"So beautiful," coret Tunku Azizah di media sosial sambil turut memberikan emoji simbol cinta.

BACA LAGI: Doktor dedah pesakit usia 40 tahun tak pernah gosok gigi, punca karang menebal

BACA LAGI: Mahu buat aktiviti larian tapi takut serangan asma, ketahui tip bantu elak risiko kesihatan

Menerusi hantaran sama sama, Tunku Azizah turut mendedahkan pesanan ringkas yang disampaikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu menyampaikan ucapan pada istiadat berkenaan.

Menzahirkan kata-kata yang tersirat di hati, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sama-sama berharap agar puteri mereka dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

"Selesainya bersanding terus berbulan madu, carilah tempat yang tidak diganggu. Di Pekan ke? (titahnya secara berseloroh).

"Ayahanda dan bonda kedua-dua pihak teruja bercucu, janganlah kita semua lama menunggu," titahnya lagi dalam pantun empat kerat itu.

WhatsApp Image 2024-09-02 at 3.40.02 PM

Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar pada istiadat bertandang.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mendoakan agar kedua-dua pasangan pengantin itu mendapat rahmat ALLAH.

"Semoga kedua-duanya bahagia sehingga ke jannah," kata Rosita A Bakar.

"Ke Bawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampun Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Semoga mempelai suami isteri dirahmati ALLAH, Aminn," tulis Rahmah Mahmud.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, selain dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; serta Siti Hediati Hariyadi yang juga anak bekas Presiden Indonesia, Suharto.

Istiadat bermula pada pukul 8.30 malam selepas Tengku Puteri Afzan yang juga kembar Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah, dibawa masuk ke Balai Mahkota disusuli ketibaan pengantin lelaki dengan diiringi paluan kompang.

Untuk rekod, Tengku Puteri Afzan dan suami selamat diijabkabulkan dalam satu istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada 22 Ogos lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram