"BUKAN kerana saya berpengalaman lama dalam industri, bermakna saya bagus," kata seorang penyanyi era-90, Rahmad Mega.
Selaku penyanyi lama, Rahmad Mega beranggapan bahawa dirinya perlu sentiasa menerima dan mempelajari hal baharu dalam industri agar dapat membuka ruang kerjaya yang lebih luas.
"Kalau kita tengok di media sosial, tidak dinafikan ramai 'orang lama' yang tidak tahu menggunakan banyak benda. Jadinya, sebab itu kita kena belajar untuk mengikut peredaran zaman.
"Contohnya macam saya join Gegar Vaganza dahulu (2014), bila artis lama sertai program begitu bermaksud saya sedia menerima teguran daripada mana-mana artis baharu atau penyanyi lama untuk memperbaiki sesuatu kebolehan dalam industri," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Sudah 7 tahun tidak bercinta, Keira Shabira terbuka hati terima jejaka 'soft spoken' Malaysia
BACA LAGI: Tak terlintas berhenti menyanyi, Naufal Azrin hanya serik jumpa orang jenis 'rembat duit'
Rahmad Mega terbuka terima teguran mana-mana pihak demi majukan diri dalam industri muzik.
Sentiasa berpemikiran positif, penyanyi lagu Bayangan Gurauan itu beranggapan sikap sedemikian menjadi alasan dirinya masih terus relevan dalam industri dan dihargai dalam jangka masa yang panjang.
"Kadang ada sahabat-sahabat lama cakap dekat saya buat apa nak keluarkan lagu baharu, kita pun dah ada banyak lagu lama.
"Tetapi saya berfikir, kalau kita nak bersiaran di media sosial ataupun mempromosikan sesuatu karya... Takkan kita nak promote lagu lama?
"Kita kena keluarkan satu single baharu. Barulah kita boleh panggil media buat liputan," katanya.
Bagaimanapun, Rahmad berkata, masih ramai peminat suka mendengarnya membawakan lagu-lagu lamanya seperti berjudul Ini Cintaku Yang Pertama dan Bayangan Gurauan.
"Kadang-kadang orang minta juga kita nyanyikan lagu-lagu lama," katanya.
Rahmad Mega beranggapan ada sebab artis baharu dibayar lebih mahal berbanding artis lama.
Bertanya soal pendapatnya terhadap artis baharu yang dibayar lebih mahal berbanding artis veteran, Rahmad melihat banyak sudut yang menyebabkan perkara itu terjadi.
Antaranya, pemilik nama sebenar Rahmad Tohak itu berkata, pihak pengurusan artis baharu kebiasaannya memiliki profil yang lengkap dengan kandungan kemahiran yang penyanyi itu miliki.
"Pihak pengurusan artis baharu ini complete dengan artis punya latar belakang, pernah menang anugerah apa dan sebagainya yang menyebabkan bila kita sendiri tengok pun rasa macam kagum.
"Ditambah pula dengan media sosial sekarang yang ramai orang suka buat video. Kalau penyanyi ini pernah buat persembahan nyanyian di merata tempat, pihak pengurusan mereka pula akan susun menjadi satu bentuk videografi yang bagus.
"Video-video inilah yang menyebabkan orang terkesan dan pilih mereka untuk bayar tinggi," katanya.
Tidak hanya itu, penyanyi berusia 54 tahun itu berkata, bayaran yang diberikan kepada penyanyi juga biasanya ditentukan bergantung dengan kuasa pemutus seseorang pemimpin.
"Kena tengok siapa pemimpin yang menentukan budget pembayaran itu samada orang yang berpengetahuan tinggi dalam bidang muzik ataupun dia memang selama ini belajar di luar negara dan sebagainya.
"Berkemungkinan, apabila dia balik ke negara ini, mereka terpengaruh dengan muzik yang tengah trending sekarang.
"Radio juga pastinya banyak memainkan lagu terkini, jadinya ramai agak kurang mengenali artis lama 90-an.
"Itulah yang menyebabkan artis baharu banyak yang dibayar lebih mahal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram