SEBUT sahaja Drama Band pastinya ramai mengenali kumpulan itu memandangkan mereka sudah berkecimpung dalam industri muzik selama lebih 14 tahun itu.
Kumpulan itu semakin dikenali ramai apabila pernah tersenarai sebagai salah satu finalis dalam Anugerah Juara Lagu pada edisi 30 dan 34 menerusi lagu hits mereka Biarkanlah dan Drama.
Pengiktirafan itu sekali gus mendorong Drama Band untuk mengeluarkan album sulung mereka berjudul Drama yang memuatkan 21 lagu dalam album tersebut.
BACA LAGI: Suami pandai 'tipu sunat' tak bandingkan kami, jaga hati saya dan madu — Ezlynn
BACA LAGI: Tak terlintas berhenti menyanyi, Naufal Azrin hanya serik jumpa orang jenis 'rembat duit'
Drama band akan menggegarkan konsert The Hardest Malam Drama pada Oktober depan.
Tidak hanya mengeluarkan album, mereka juga melancarkan lagu terbaharu berjudul FYP pada Khamis yang menggambarkan isu sosial yang wujud dalam kehidupan nyata masyarakat kini yang sememangnya terdedah dengan media sosial.
Untuk rekod, Drama Band dianggotai oleh Padel (gitaris), Amir (gitaris), Adib (gitaris), Daus (bes), Faeez (dram) dan Aepul (vokalis).
Vokalis bagi Drama Band, Aepul Roza berkata, dia menulis lagu itu kerana berasa geram melihat masalah sosial semakin meningkat.
"Ramai orang kejar populariti demi For You Page (FYP). Mereka gunakan apa sahaja cara tidak kisah cara kotor sekalipun hanya untuk dapatkan FYP di laman TikTok.
"Itulah sebabnya lagu ini berjudul FYP. Kita nak tegur orang yang tidak bermoral sebegitu," katanya.
Aepul berkata, terdapat dua watak yang mahu difokuskan dalam lagu terbaharu mereka itu.
"Ada banyak golongan 'pemain' media sosial sebenarnya tetapi yang kita mahu fokuskan adalah tentang watak penunggang agama dan juga penipu," katanya.
Bagaimanapun, Aepul beranggapan bahawa masyarakat tidak perlu memberi perhatian kepada individu yang menggunakan media sosial dengan cara yang salah.
"Populariti disebabkan oleh perkara negatif tidak akan bertahan lama.
"Kita tak perlu bagi mereka perhatian seperti komen atau menonton video yang mereka keluarkan kerana itu membawa kepada engagement."Sebab apabila kita beri perhatian, mereka semakin terkenal sehingga konten di media sosial boleh menjadi sumber pendapatan," katanya.
Tidak hanya itu, selaku penyanyi, pemilik nama sebenar Noor Syaiful Muhd Zalaludin itu berasa bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej menerusi lagu baharunya itu agar tidak ramai mengambil remeh soal isu berkenaan.
"Bagi saya, perkara seperti memperalatkan agama amat berat. Kita sebagai umat Islam tidak boleh duduk diam sahaja. Sebab itulah kami hasilkan lagu sebegini," katanya.
Mengulas soal perkembangan semasa, kumpulan yang terdiri daripada enam orang itu juga bakal menganjurkan konsert The Hardest Malam Drama yang berskala besar pada 05 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Konsert kali pertama berskala besar itu merupakan rentetan bagi jelajah siri konsert Malam Drama pada Mac lepas.
Konsert itu bukan sekadar sambungan kepada legasi konsert Malam Drama tetapi satu manifestasi epik yang akan menyatukan semua karya unggul Drama Band sejak mereka mula menggegarkan industri muzik tempatan.
"Saya rasa sebagai satu rezeki apabila Pengarah Orange International Entertainment, Datuk Mohd Fadzli minta untuk bekerjasama dalam hasilkan konsert itu.
"Ada 21 lagu yang akan dibawakan. Setakat ini persiapan untuk konsert sudah 80 peratus siap.
Penjualan tiket akan dibuat bermula pada Khamis di laman web Ticket2u.com.y dengan harga bermula daripada Rm 79 hingga RM3000 mengikut zon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram