Pensyarah 'upgrade' wayang kulit tradisional jadi 3D, mahu anak muda berkembang ilmu dalam robotik


Ahnaf Hakimi Ahmad pintar mengubahsuai wayang kulit tradisional menjadikan wayang kulit animatronik.

PADA zaman serba moden ini, agak sukar menemukan generasi kini yang mengenali soal wayang kulit, meskipun kegiatan itu pernah popular sebagai cara hiburan masyarakat lama.

Seni persembahan teater tradisional itu seolah-olah pudar ditelan zaman apabila tiada individu yang mahu mempertahankannya.

Bagaimanapun bagi Ahnaf Hakimi Ahmad atau lebih popular dengan nama Kimy bijak menggunakan kemahirannya dalam bidang robotik untuk menginovasi wayang kulit tradisional menjadi wayang kulit animatronik (WKA).

BACA LAGI: Art of Speed 2024 medan 'cuci mata' lihat kenderaan ubah suai, menyelam 'thrift' koleksi pakaian vintaj

BACA LAGI: 'Tak kisah jari tercucuk jarum, janji dapat elak main gajet,' seni kait buat Azmawati terleka

vlcsnap-2024-05-29-10h57m25s301

Persembahan wayang kulit yang dibuat oleh Ahnaf Hakimi Ahmad.

Pensyarah Multimedia di Han Chiang University College of Communication, Pulau Pinang itu berkata, dia memiliki minat untuk terlibat dalam wayang kulit sejak gurunya sewaktu belajar dalam pendidikan Ijazah Sarjana Teknologi Multimedia di Universiti Sains Malaysia (USM) sering mengetengahkan seni warisan itu.

"Sejak saya kenal guru saya, Mohd Jufry Yusoff, dialah banyak mengajar dalam wayang kulit. Tetapi sekarang dia sudah bersara. Cumanya dia masih terlibat aktif dalam buat persembahan wayang kulit," katanya.

Kimy berkata, dia mencipta idea untuk pengubahsuaian dalam wayang kulit adalah bertujuan untuk menarik lebih ramai generasi muda dalam mengenali wayang kulit.

"Saya mahu buat generasi muda minat terhadap seni warisan. Saya rasa pengenalan terhadap wayang kulit amatlah penting untuk menarik minat mereka untuk mendalami seni warisan.

"Saya harap dengan adanya wayang robot, masyarakat umum mempunyai sedikit kesedaran dan pengetahuan terhadap seni warisan iaitu wayang kulit," katanya.

Lelaki berusia 35 tahun itu turut mengetengahkan teknologi dalam persembahan wayang kulitnya untuk memberi manfaat kepada golongan remaja dalam robotik.

"Sekarang era industrial 4.0 jadi ilmu kejuruteraan dan ilmu sains memang penting. Sebab kita sekarang ke arah hadapan melihat negara yang dominan dalam industri pembuatan robotik secara tidak langsung menarik anak mudah untuk mempelajari ilmu robotik," katanya.

vlcsnap-2024-05-29-10h59m30s763

Wayang kulit animatronik yang diinovasi oleh Ahnaf Hakimi Ahmad.

Pintar mencipta idea, pelbagai pengubahsuaian berbentuk 3 three-dimensional (3D) yang dilakukan dengan cara memasukkan unsur teknologi dalam penceritaan wayang kulit.

"Apabila persembahan wayang kulit guna kaedah animatronik, lebih kerap dapat buat persembahan kerana tidak perlu melibatkan banyak kru dalam perkara.

"Animatronik ini one main show pun boleh kerana semuanya dikawal oleh sistem komputer. Jadinya apabila habis persembahan cuma perlu switch off sistem sahaja," katanya kepada Majoriti.

Tidak hanya itu, inovasi lain yang dilakukan adalah dengan menukar fungsi seseorang yang mengemudikan persembahan wayang kulit iaitu peranan tok dalang dengan menggunakan robot.

"Tok dalang itu dalam wayang kulit tradisional dialah yang memainkan, melakukan dan menggerakkan watak wayang kulit di belakang layar putih.

"Kemudian di belakang ada musician yang akan bantu Tok Dalang itu daripada segi kesan bunyi. Tetapi dalam wayang kulit animatronik saya guna robotik sahaja tak perlu Tok Dalang.

"Audio pula kami sudah rakam jadi tinggal dimainkan menggunakan komputer," katanya.

Ditanya mengenai ilham mencari jalan penceritaan persembahan, Ahnaf berkata, dia kebiasaannya membawakan cerita rakyat masyarakat tradisional seperti Kampung Emas, Mahsuri, Si Tanggang, Kampung Emas, Badang dan lain-lain.

"Memang susah untuk hasilkan satu cerita sendiri, jadi saya biasanya ambil cerita rakyat," katanya.

Wayang kulit animatronik yang diciptanya pernah dipersembahkan di banyak tempat seperti Muzium Galeri Tuanku Fauziah (USM), Penang Arts District Gurney Plaza, Immersio by Filamen, rancangan televisyen Infiniteen di RTM, Riuh Sokmo Kelantan 2023, Riuh Ipoh, Perak, Riuh Juru, Pulau Pinang, Immersio Muzium Telekom Kuala Lumpur dan Tukang Lestari Selangor 2023/24.

Anak jati Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu berkata, dia bersyukur apabila wayang kulit animatroninya diterima ramai pihak.

"Alhamdulillah saya bersyukur ramai terima saya ubah suai dan dapat menjalankan persembahan ini di kebanyakan negeri terutama Semenanjung Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram