Gambar tular kes peluru tabur di luar negara, bukan kes Mpox — KKM


  • Sihat
  • Rabu, 21 Ogos 2024

KKM menegaskan gambar tular di aplikasi WhatsApp berkaitan kes jangkitan penyakit Mpox, sebenarnya adalah kecederaan berkaitan peluru tabur yang berlaku di luar negara pada 2022.

GAMBAR tular di aplikasi WhatsApp yang seolah-olah berkaitan kes jangkitan penyakit cacar monyet atau Mpox, sebenarnya adalah kecederaan berkaitan peluru tabur yang berlaku di luar negara pada 2022, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, pihaknya mengesan laporan berita tidak benar yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan Mpox kini merebak di Singapura.

“Imej yang ditularkan bukan imej kes Mpox, tetapi imej mangsa kecederaan peluru tabur dalam artikel berita daripada satu laman web luar negara pada 17 September 2022," katanya.

BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena Mpox

BACA LAGI: Risiko terbakar, lemas antara punca ada negara haramkan 'baby walker', ibu bapa ambil tahu saranan pakar

Dalam pada itu, KKM turut memberi pengingatan kepada orang ramai agar tidak mudah mempercayai sesuatu hal tanpa unsur periksa.

“Usah terpedaya dengan mesej yang disampaikan. Elakkan juga daripada berkongsi mesej ini kepada ahli keluarga atau ‘groupchat’ yang lain,” kata kenyataan itu.

Tambahnya lagi, orang ramai diminta merujuk sumber rasmi kementerian melalui platform media sosial KKM iaitu Facebook, Instagram ataupun aplikasi X. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram