Cebisan baju dan serpihan tulang rungkai kehilangan operator kilang, rupanya maut terjatuh dalam mesin proses tandan sawit


  • 112
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Kasut dipercayai milik mangsa ditemui di atas timbunan serat sawit di sebuah kilang sawit di Jenjarom, Kuala Langat, Selangor pada Selasa. — Media sosial

MISTERI kehilangan seorang lelaki yang baru lapan hari bekerja di sebuah kilang sawit di Jenjarom, Kuala Langat, Selangor terjawab dengan penemuan cebisan baju dan serpihan tulang manusia di atas timbunan serat sawit di premis terbabit.

Pada Selasa, mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai operator itu pada mulanya keluar rehat selama kira-kira 50 minit.

Bagaimanapun, selepas masuk semula untuk menyambung kerja pada 1.50 petang, dia didapati tiada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, rakan sekerja mangsa pula keluar rehat pada pukul 2 petang dan masuk semula pada pukul 2.30 petang dan mendapati lelaki terbabit tiada di lokasi dengan mesin serat tandan sawit beroperasi tanpa operator.

BACA LAGI: Risiko terbakar, lemas antara punca ada negara haramkan 'baby walker', ibu bapa ambil tahu saranan pakar

BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena Mpox

Ahmad berkata, pengadu kes itu, wanita tempatan yang bekerja sebagai pengurus kilang berkenaan bersama rakan sekerja berusaha mencari mangsa sebelum menjumpai kasut, cebisan baju dan serpihan tulang manusia di atas timbunan serat sawit pada hujung mesin penghantar pada pukul 5.57 petang pada Selasa.

“Polis menerima laporan daripada wanita berkenaan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.15 malam Selasa.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit semasa memgendalikan mesin terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tubuh mangsa yang hancur bersama serpihan tulang dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan siasatan polis setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram