MENYUSURI jalan kejayaan dalam dunia keusahawanan bukanlah mudah, namun bagi seorang usahawan muda, minat dan kesungguhan sejak dari bangku sekolah telah membawa beliau ke arah kejayaan yang diimpikan.
Memulakan perniagaan pada Ogos 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Haziqah Ainul Adnan, 27, beralih dari kerjaya sepenuh masa sebagai pelayan di kafe ke dunia pastri yang penuh cabaran.
Berbekalkan latar belakang Diploma Seni Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang dan minat mendalam dalam bidang pastri sejak sekolah menengah, dia memutuskan untuk menjadikan hobinya sebagai sumber pendapatan utama.
BACA LAGI: Sumbangan syarikat alkohol untuk konsert amal sekolah — Zahid Hamidi
BACA LAGI: Kabinet pertimbang amalan lama sekolah vernakular terima sumbangan, anjur program
Ruang Lima Tujuh pertama kali beroperasi secara fizikal di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Julai lalu.
Dengan pengalaman berniaga yang dimulakan dari sekolah menengah, seperti membuka reruai bersama rakan-rakan pada hari kantin dan menjual coklat, timbul keinginan untuk menjual produk yang dihasilkan sendiri.
Mengulas mengenai cabaran terbesar yang dihadapinya, dia akui mengalami kesukaran untuk menarik pelanggan, terutamanya dalam dunia perniagaan dalam talian, ditambah dengan lambakan peniaga yang menggunakan media sosial sebagai platform berjual beli.
Dengan strategi kreatif dan pengalaman yang dipelajari, pengasas Ruang Lima Tujuh yang bertempat di Shah Alam, Selangor, itu kini berupaya memahami pola pembelian pelanggan dan merancang jualan mengikut kesesuaian.
"Setelah beberapa tahun berniaga, saya mulai faham rentak pembelian pelanggan, termasuk waktu mereka kerap melakukan tempahan.
"Contohnya, selalunya ramai akan tempah awal dan hujung bulan kerana kebiasaannya mereka akan menerima gaji pada waktu itu.
"Jadi saya akan lebih memfokuskan jualan dan mempelbagaikan menu dalam tempoh tersebut.
"Apabila minggu yang kurang tempahan, saya fokus pada menu yang memang orang selalu cari iaitu craquelin choux," katanya kepada Majoriti.
Tangkap layar Instagram Ruang Lima Tujuh.
Menu yang menjadi kegemaran ramai itu menandakan kejayaan perniagaan yang diusahakan sejak 2020.
Meskipun meraih sambutan yang luar biasa terhadap pastri tersebut, dia berhadapan kekangan untuk menghasilkan menu itu dalam skala yang lebih besar berikutan dia seorang sahaja yang menguruskan penyediaan semua pastrinya.
Akui Haziqah Ainul, dia terpaksa menghentikan produksi buat seketika selepas tular di laman media sosial.
"Disebabkan terlalu banyak tempahan masuk, saya pula baking berseorangan, jadi saya mudah penat, jadi saya tidak ada masa untuk membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk baharu.
Bercakap mengenai pencapaian yang paling diingati setakat ini, perniagaannya pernah membuat penampilan fizikal pertamanya melalui karnival berkala di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Julai lalu.
"Pencapaian terbesar bagi saya ketika berpeluang membuka booth pada karnival berkala pada Julai di Pasar Seni. Ini kali pertama saya menjual secara fizikal.
"Seronok dapat jumpa pelanggan-pelanggan yang biasa beli dari rumah," luahnya.
Bercerita lanjut, Haziqah Ainul menjelaskan, perniagaannya memfokuskan pada kategori homebaker dengan penawaran produk dalam kuantiti kecil bagi memenuhi permintaan individu.
Black Forest craquelin choux antara menu kegemaran pelanggan Ruang Lima Tujuh.
"Saya buat macam tu sebab saya faham kadang orang tu beli untuk makan sendiri je.
"Saya nak orang dapat rasa menu saya sambil boleh jimat duit poket," ujarnya.
Aktif di Instagram dan TikTok, dia memanfaatkan platform media sosial untuk mempromosikan produk dengan cara yang lebih kreatif.
"Walaupun sering berdepan dengan cabaran termasuk adakalanya jumlah penonton akan berkurang apabila terlalu kerap membuat hantaran.
"Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berinovasi dengan menggunakan pelbagai jenis kandungan bagi berinteraksi dengan pengikut," jelasnya.
Sebagai seorang usahawan yang bercita-cita tinggi, dia tidak hanya bergantung kepada pengalaman sendiri, tetapi juga mendapatkan inspirasi daripada pakar dalam bidang pastri terkenal seperti Lacher Patisserie di Malaysia dan Woolloo Moolloo dari Bangkok.
Perkara itu membantunya dalam memahami gabungan rasa dalam pencuci mulut French yang kompleks serta pengurusan masa yang efisien.
"Dulu saya rasa nak buat pencuci mulut French sangat renyah, tapi sekarang saya lebih berminat untuk menghasilkannya selepas melihat hasil kerja semua bakeri hebat ini," tuturnya sambil memberitahu bahawa nama Ruang Lima Tujuh diambil sempena nombor rumahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram