'Bukan selesema biasa', ibu bapa kena peka influenza beri komplikasi teruk kepada anak


  • Sihat
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Antara simptom influenza pada kanak-kanak termasuk demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak dan muntah. — Gambar fail

JANGKITAN influenza pada kanak-kanak sering dianggap sebagai penyakit biasa, tetapi ia boleh menyebabkan komplikasi serius yang bukan sahaja menjejaskan sistem pernafasan tetapi organ lain.

Influenza adalah jangkitan virus yang merebak melalui penafasan iaitu titisan batuk atau bersin.

Gejala biasa termasuk demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak, dan muntah.

BACA LAGI: Pakar UMS-HQE2 berjaya bedah otak warga emas secara sedar di Kota Kinabalu

BACA LAGI: Bersediakah anak-anak ‘delay’ mulakan persekolahan?

210423-36-VAKSIN-kanak-kanak

Berunding dengan doktor tentang influenza dan vaksinasi adalah penting untuk melindungi kesihatan anak-anak. — Agensi

Namun, dalam beberapa kes, komplikasi serius boleh berlaku melibatkan sistem organ lain selain paru-paru.

Influenza dan jantung

Influenza boleh mempengaruhi tekanan darah, degupan jantung dan fungsi jantung.

Influenza lebih berisiko kepada orang tua yang mengalami masalah jantung.

Bahkan, ia turut berupaya menjejaskan kanak-kanak yang menghidap masalah jantung kongenital atau kronik.

Dalam kes jarang berlaku, influenza boleh menyebabkan keradangan pada otot jantung (miokarditis), yang boleh membawa kepada pembengkakan jantung, kegagalan jantung, atau bacaan jantung yang tidak normal.

Influenza dan otak

Jangkitan influenza juga boleh menjejaskan otak dan menyebabkan komplikasi serius:

- Influenza-Associated Encephalopathy (IAE): Kerosakan otak yang boleh menyebabkan sawan, koma atau kematian, lebih kerap berlaku pada kanak-kanak berumur enam hingga 18 bulan.

- Ensefalitis: Keradangan otak yang boleh mengakibatkan kerosakan otak, pendarahan, atau kemusnahan saraf.

- Sindrom Guillain-Barré: Gangguan di mana sistem imun menyerang saraf, menyebabkan kelemahan otot dan lumpuh.

1477384

Jangkitan influenza pada kanak-kanak sering dianggap sebagai penyakit biasa namun ia boleh menjejaskan komplikasi sistem pernafasan. — mStar

Influenza dan sistem pernafasan

Influenza utama menyerang sistem pernafasan yang boleh menyebabkan:

- Pneumonia: Jangkitan paru-paru yang meradang, biasa pada kanak-kanak kecil, orang tua, dan wanita hamil.

- Bronkitis: Keradangan saluran udara paru-paru yang boleh menyebabkan penyempitan saluran darah dan peningkatan tekanan darah.

- Resdung: Keradangan sinus yang boleh menyebabkan hidung tersumbat, sakit kepala, kesukaran bernafas dan masalah deria.

Langkah pencegahan

- Elakkan berhubung secara langsung dengan individu yang sakit.

- Ajar anak anda kaedah pernafasan, seperti menutup hidung atau mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin.

- Memakai topeng muka di tempat sesak atau tertutup, terutama semasa wabak.

Dapatkan vaksinasi

- Pastikan anak menerima vaksin influenza tahunan (untuk umur enam bulan ke atas).

- Ikuti vaksinasi lain dalam Program Imunisasi Kebangsaan, seperti pneumokokal, MMR, dan vaksinasi tambahan seperti Covid-19 dan cacar air.

Walaupun kebanyakan kes influenza adalah biasa, anak-anak kecil berisiko tinggi mengalami komplikasi serius.

Ibu bapa perlu memahami risiko tersebut dan mengambil langkah pencegahan yang diperlukan.

Berunding dengan doktor tentang influenza dan vaksinasi adalah penting untuk melindungi kesihatan anak-anak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram