The Wayang Robot, inovasi 3D beri nafas baharu wayang kulit tradisional


  • Hobi
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Ahnaf bijak menggunakan masa lapangnya untuk menginovasi wayang kulit.

MEMANG sukar menemukan individu yang berminat atau memiliki ilmu yang cukup mendalam mengenai wayang kulit.

Bagaimanapun, seorang anak jati Pulau Pinang, Ahnaf Hakimi Ahmad menjadikan persembahan wayang kulit sebagai satu hobi yang mampu menjana pendapatannya.

Ahnaf Hakimi berkata, pada waktu lapang, dia akan menghabiskan masanya untuk menginovasi wayang kulit animatronik.

BACA LAGI: Kanak-kanak ada kolesterol tinggi berpotensi dapat penyakit jantung awal

BACA LAGI: Perjuangan Celine Dion lawan Stiff Person Syndrome, tak semua tahu tentang penyakit jarang ditemui ini

“Setiap kali waktu lapang sahaja saya akan upgrade komponen baharu untuk wayang kulit animatronik yang saya buat.

“Biasanya dalam seminggu sekali memang akan luangkan masa,” katanya kepada Majoriti.

photo_6152303741580197585_y

Ahnaf menggunakan waktu lapangnya untuk membuat innovasi terhadap wayang kulit animatronik.

Selain mempamerkan wayang kulit animatronik, lelaki berusia 35 tahun itu juga bekerja secara penuh sebagai pensyarah Multimedia di Han Chiang University College of Communication, Pulau Pinang.

"Saya rasa hobi ini memang banyak menghabiskan duit, jadi daripada terus habis duit, lebih baik jika saya menjana pendapatan melalui hobi ini," katanya.

Antara kos yang dikeluarkan adalah untuk membeli komponen, peralatan wayang dan sebagainya.

"Kos komponen biasanya harganya memang tinggi sebab saya pilih yang berkualiti," katanya.

Tidak mudah menghasilkan rekaan, banyak proses yang dilakukan Ahnaf sejak 2021 sehingga terwujudnya jenama The Wayang Robot.

Antara proses utamanya adalah kejuruteraan, pertukangan dan penceritaan.

Ahnaf berkata, kejuruteraan merupakan proses pertama yang akan berulang dalam setiap reka bentuk mekanikal, selain proses elektronik dan pengaturcaraan komputer.

"Saya biasanya kena kenal pasti saiz dan ukuran sebelum kerja-kerja lain bermula," katanya.

Setelah saiz dapat dikenal pasti, mudah untuknya menilai komponen-komponen lain yang relatif dengan saiz projek.

WhatsApp Image 2024-08-01 at 7.31.28 PM

Orang ramai menonton wayang kulit animatronik yang dipersembahkan oleh Ahnaf.

"Kalau proses rekabentuk mekanikal selesai barulah kerja-kerja elektronik macam pendawaian dan pengaturcaraan dilakukan," katanya.

Setakat ini, ada lapan karakter yang dicipta khas untuk persembahan wayang kulit yang ditayangkan di merata tempat.

“Sekarang ada lapan karater iaitu empat karakter moden dan empat karakter tradisional.

“Contohnya kalau mahu pamerkan persembahan cerita moden saya akan guna karakter moden, tetapi kalau tonjol persembahan pakai cerita tradisional memang akan guna karakter wayang kulit tradisional,” katanya.

Tidak hanya itu, Ahnaf juga mengubah dari sudut gaya pergerakan yang dimainkan sewaktu persembahan wayang kulit.

“Wayang kulit tradisional ini lengguk tarian lebih santai.

“Kalau wayang kulit moden lengguk tari akan lebih agresif bersesuaian dengan kehidupan masyarakat kini yang rushing dengan pelbagai perkara,” katanya.

Kini, wayang kulit yang dihasilkannya sudah dipersembahkan di banyak tempat seperti Muzium Galeri Tuanku Fauziah (USM), Penang Arts District Gurney Plaza, Immersio by Filamen, rancangan televisyen Infiniteen di RTM, Riuh Sokmo Kelantan 2023, Riuh Ipoh, Perak, Riuh Juru, Pulau Pinang, Immersio Muzium Telekom Kuala Lumpur dan Tukang Lestari Selangor 2023/24.

Ahnaf juga berharap agar anak muda kini semakin berminat dalam persembahan wayang kulit agar seni tradisional ini tidak dipudar dek zaman.

“Kalau dulu wayang kulit ini terkenal di negeri seperti Kelantan. Tetapi apabila diinovasi menggunakan teknik 3D harap lebih ramai anak muda dan masyarakat tertarik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram