MESKIPUN berdepan ujian dalam rumah tangga, pelakon Irma Hasmie tetap mampu tampil dengan senyuman indah di hadapan semua orang dalam sebuah majlis pelancaran produk biskut di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Irma Hasmie berkata, dia bersyukur masih diberi ujian dalam kehidupan sebagai satu bentuk kasih sayang daripada ALLAH.
"Dunia memang tempat untuk ujian bagi manusia. Kita patut rasa beruntung apabila menerima ujian.
"Kalau perjalanan kehidupan kita senang sahaja tanpa sebarang masalah. ALLAH dah tak beri ujian, itulah yang kita patut takut kerana nanti kita lupa diri," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Rakyat Malaysia, Jepun dan Indonesia bergabung cipta nama KLP48 di pentas antarabangsa
Irma Hasmie bersama bekas suaminya, Redza Syah Azmeer.
Memilih untuk mengunci mulut soal rumah tangga, Irma Hasmie berbuat sedemikian supaya tidak menjadi buah mulut masyarakat.
"Isu rumah tangga terlalu privacy untuk saya. Jadi apa pun saya jawab orang tetap akan berspekulasi. Lebih baik saya mengambil pendekatan untuk diam," katanya.
Sebelum ini, wanita berusia 42 tahun itu dipuji ramai gara-gara tidak menyebarkan aib soal rumah tangga di media sosial dan orang ramai.
Manakan tidak, segelintir pempengaruh lebih memilih untuk tampil mendedahkan sesuatu hal yang terjadi dalam hidupnya sehingga perkara itu menjadi lebih 'panas'.
Mengulas mengenai itu, Irma Hasmie berkata, dia berbuat sedemikian agar ALLAH juga menjaga aibnya.
"Kalau kita jaga aib orang, ALLAH jaga aib kita dunia dan akhirat.
"Kita ada khilaf masing-masing kerana manusia tidak lari daripada masalah. Mungkin kita tak nampak jahat kerana ALLAH tutup aib kita.
"Kita juga tidak boleh membenci seseorang ataupun rasa tak suka kelakuan dia. Kita doakan sahaja kebaikan untuknya," katanya.
Irma Hasmie bersabar melalui ujian kehidupan.
Pelakon drama Segalanya Ku Terima itu berkata, dia mendapat sumber kekuatan daripada orang terdekat.
"Saya ada kawan-kawan yang selalu beri nasihat. Yang penting macam mana kita kontrol minda dengan diri kita.
"Lagipun apa yang terjadi dalam kehidupan kita sendiri yang sudah setuju sejak masih dialam roh. Jadi itu yang menjadi nasihat untuk diri saya tetap tenang," katanya.
Mengulas soal perkembangannya dalam industri, Irma Hasmie masih aktif menjadi hos di merata tempat selain berlakon dan mempromosikan pelbagai produk.
"Kerjaya lakonan sentiasa ada cumanya saya jenis yang fokus terhadap keluarga dan anak-anak.
"Anak-anak pergi dan balik sekolah saya yang hantar. Memang di rumah pun saya jaga mereka. Jadinya saya urus masa untuk anak dengan kerjaya saya," katanya.
Sebelum ini, Irma Hasmie mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata .
Bagaimanapun, perkahwinan Irma Hasmie bersama Redza Syah Azmeer difahamkan sudah berakhir sembilan bulan lepas apabila rakan baik Irma iaitu Reen Emran dan penceramah motivasi, Amin Idris memaklumkan perkara itu di Instagram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram