Kurang pendengaran tak halang Aizad tonjol bakat buat kopi, terbang sampai Washington latih pekerja senasib


Meskipun ada kekurangan diri, Aizad bijak menggunakan bahasa isyarat untuk berinteraksi dengan pelanggan di kedai kopi.

KEKURANGAN diri atas faktor pekak tidak menghalang seorang barista, Muhammad Aizad Ariffin untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam pekerjaannya.

Pastinya ramai pelanggan kagum jika melihat cara unik lelaki berkenaan melayan pelanggan meskipun memiliki batas terhad.

Pelbagai jenis minuman meliputi rasa kopi yang berbeza-beza mampu dihasilkan dengan jari jemari halusnya sehingga ramai pelanggan memutuskan untuk kembali ke Starbucks cawangan Bangsar untuk merasai air tangannya itu.

BACA LAGI: Tuah manusia siapa yang tahu, usahawan bisu berbakat fotografi dapat tawaran kerja bersama Raja Muda Selangor serta-merta

BACA LAGI: Pernah lumpuh 8 bulan, hidap masalah tulang belakang tak halang usahawan OKU inovasi jus kurkumin

photo1720681127

Signing Store, Bangsar Village II di Bangsar memberi peluang kepada golongan pekak untuk menampung kehidupan harian.

Malah, kepakaran yang dimiliki lelaki berusia 37 tahun itu membolehkannya terpilih untuk terbang ke Washington, D.C. bagi melatih pekerja Starbucks di sana dalam hal-hal berkaitan operasi kerja yang mampu dibuat oleh golongan pekak.

"Ada dua orang pekerja yang terpilih untuk ke Washington iaitu Aizad dan seorang lagi pekerja yang senasib dengannya," kata Ketua Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Berjaya Starbucks, Alia Emira Ismail.

Selain Washington, Aizad juga pernah pergi dipilih untuk ke Pulau Pinang bagi pembukaan Signing Store Starbucks dan juga Sarawak pada 2023 berkat 'anugerah' Tuhan yang dikurniakan kepadanya itu.

"Itu pertama kali saya jejak kaki ke Washington. Rasa sangat gembira mampu bergaul dengan pekerja-pekerja di sana," katanya kepada Majoriti menerusi juru bahasa isyarat, Hans Othman.

Aizad yang kini berjawatan sebagai penyelia syif bagi Starbucks cawangan Signing Store Bangsar Village II menceritakan tentang permulaannya terlibat dalam pembuatan kopi.

"Saya bermula sebagai barista. Belajar sama macam barista lain juga yang menggunakan buku sehingga menjadi coffee master.

"Selepas mampu jadi supervisor, saya menolong semua team untuk belajar bersama-sama," katanya.

Aizad berkata, Starbucks Signing Store menggunakan kaedah kreatif iaitu tablet writing untuk membolehkan pelanggan menulis pesanan yang ingin mereka beli.

"Apabila guna kaedah ini, lebih tepat dan mudah untuk kesan jenis minuman dan makanan yang ingin dibeli oleh pelanggan," katanya.

Tidak hanya itu, Aizad juga mudah untuk menjalankan kerja-kerja kerana dilengkapi pelbagai kemudahan yang mesra untuk bagi pekerja pekak.

"Contoh untuk menempah makanan, ada kod tertentu, pelanggan tinggal tulis kod itu sahaja, mudah untuk pekerja dan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, Alia Emira Ismail berkata, mereka yakin bahawa golongan pekak juga mampu melakukan kerja yang lebih menonjol berbanding hanya diberi tugasan kecil.

"Biasa kita tengok golongan sebegini hanya diberi tugasan seperti lap-lap meja. Tetapi kami putuskan untuk ajar mereka dalam pembuatan kopi dan mereka mampu melakukan yang terbaik.

"Starbucks sangat rapat dengan komuniti pekak. Jadi ada yang dalam kalangan mereka juga miliki pendidikan peringkat master dan juga ijazah kedoktoran (PhD)," katanya.

Untuk rekod, Signing Store, Bangsar Village II, merupakan Signing Store pertama di dunia yang memberi peluang golongan pekak untuk menjadi barista dengan menggunakan bahasa isyarat sebagai alat komunikasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram