Ada minta 'tour' ke luar KL, Sissy Imann rancang adakan siri jelajah showcase


  • Hiburan
  • Rabu, 31 Jul 2024

Sissy Imann The Showcase yang berlangsung di DPAC pada 28 Julai lalu dilaporkan tiket habis terjual.

SELEPAS selesai dengan showcase pertamanya, Sissy Imann merancang untuk mengadakan siri jelajah showcase tersebut selepas menerima banyak pertanyaan daripada peminat dari luar Kuala Lumpur yang ingin menyaksikan showcase itu secara langsung.

Sissy Imann The Showcase yang berlangsung di Black Box, Damansara Performing Arts Center (DPAC) pada 28 Julai lalu dilaporkan mendapat sambutan menggalakkan sehingga terpaksa menambah kapasiti tempat duduk.

Namun perancangan itu belum ada kata putus sama ada ia akan berlangsung atau tidak memandangkan ia memerlukan perbincangan bersama pelbagai pihak.

BACA LAGI: Gandingan duet P. Ramlee, biduanita Nona Asiah hembus nafas terakhir pada usia 94 di Singapura

BACA LAGI: 'Tiada orang sepertinya,' penonton menitis air mata dengar nyanyian Celine Dion di Olimpik Paris 2024

photo_6147814044761964033_y

Sissy Imann yang popular dengan lagu Mungkin Kamu kini semakin giat menceburi bidang lakonan dan pengacaraan.

Hal itu berikutan penganjuran showcase pertamanya itu dianjurkan syarikat rakamannya sendiri, jadi ia perlu melibatkan tenaga kerja luar bagi memastikan konsert berjalan dengan lebih lancar.

"Sebenarnya ramai juga yang minta 'tour' luar dari KL tapi kita tengok macam mana," katanya kepada Majoriti.

"Kita bukan sahaja sekadar menyanyi sebab pada Sissy ini langkah pertama jadi Sissy macam agak terkejut juga tapi seronok sebenarnya," tambahnya.

Menurutnya, showcase itu membawa kelainan apabila dia menzahirkan bakatnya dalam nyanyian menerusi 14 buah lagu yang dipersembahkan serta bermain alat muzik di atas pentas.

"Sebelum ni mungkin orang nampak Sissy main keyboard, main gitar dekat Instagram, tapi untuk showcase ini kita zahirkan atas pentas," ujarnya.

Mengulas tentang perkara yang perlu diperbaiki dalam showcasenya, dia mengakui, terdapat beberapa perkara yang tidak berjalan seperti yang diinginkan memandangkan ia merupakan showcase sulungnya.

Namun, dia menerima banyak maklum balas dan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan artis yang hadir pada hari showcase tersebut.

"Macam-macam sebenarnya sebab setiap kali kita melakukan sesuatu, mesti ada yang berjaya tapi ada yang kita boleh perbaiki. Rakan-rakan artis yang turut hadir seperti Ernie Zakri, Syamel, Datuk Syafinaz, Wany Hasrita dan lain-lain banyak bagi input untuk Sissy perbaiki, Alhamdulillah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram