Anak pernah termakan makanan kucing, Azmi Saat dan isteri pakaikan gelang kaki demi keselamatan Khalisa


  • Hiburan
  • Selasa, 23 Jul 2024

Azmi dan pasangan menimang cahaya mata kedua selepas anak sulungnya meninggal pada 2021.

SELEPAS 12 tahun penantian cahaya mata, penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat berkongsi pengalaman membesarkan anaknya bersama isterinya yang masing-masing diuji dengan masalah penglihatan.

Memetik laporan sebelum ini, Azmi mengakui mengalami kesukaran untuk menyuapnya makanan ketika usia enam bulan dan sehingga kini dia tidak menafikan cabaran itu adalah yang paling sukar walaupun anak perempuannya, Khalisa Insyirah kini hampir memasuki usia sembilan bulan.

Menurutnya, dia dan pasangan memakaikan gelang pada kaki anak mereka untuk memantau pergerakannya terutama sekali di dalam rumah memandangkan dia sudah pandai mengesot dan aktif bergerak.

BACA LAGI: 'Jangan risau soal rezeki', Normah beri nasihat untuk generasi baharu pelakon teater

BACA LAGI: 'So many medical error', doktor kritik drama tempatan gara-gara ultrasound lipas dalam perut

6123134625808238508

Azmi dan dan keluarganya ketika menyambut Hari Raya Aidilftiri tahun ini. — Instagram/azmi_saat

"Kalau orang nampak mungkin boleh tengok dari jauh. Tapi macam kami, kena sentiasa ikut dia. Kalau kita tengok dia senyap tu, kena cari dia.

"Kadang-kadang kita jumpalah dalam mulut ada kertaslah, ada makanan kucinglah," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai detik-detik sukar yang mungkin dia dan pasangan pernah alami sewaktu di luar, dia memaklumkan setakat ini belum pernah ada lagi kerana dia selalunya keluar bersama rakan-rakannya.

"Ada sekali tu keluar ramai-ramai dan dia meragam jadi isteri terus bawa masuk ke dalam kereta untuk tenangkan dia. Tak ada yang susah sangatlah," ujarnya.

Tambahnya, dia dan pasangan pernah menggunakan khidmat penuh pengasuh sekitar rumah mereka selama sebulan namun atas faktor-faktor tertentu, mereka mengambil keputusan untuk bergilir-gilir menguruskan anak dan hanya hantar ke rumah penjaga jika perlu.

Azmi Saat_Majnun_Cover_logo

Single baharu Azmi, 'Majnun', telah dilancarkan pada 19 Julai. — Map Muic

Bercakap mengenai perkembangan semasanya, dia baru sahaja mengeluarkan single terbaharunya, 'Majnun', pada 19 Julai lalu selepas dua tahun tidak berkarya.

Walaupun tidak mengeluarkan karya dalam tempoh tersebut, namun dia tidak merasa kekok semasa proses rakaman lagu kerana dia masih aktif terlibat dengan kerja-kerja di dalam studio termasuk penghasilan lagu untuk iklan produk.

Lagu terbaharunya itu menceritakan tentang cinta yang tidak seharusnya memiliki dan tak semua yang dimiliki itu cinta.

Katanya, dia bersetuju untuk membawa lagu itu kerana genrenya yang berbeza berbanding lagu-lagu yang pernah dinyanyikan bersama kumpulannya sebelum ini.

"Saya tak pernah ada lagu yang macam ini. Mula-mula dapat demo tu, memang melodi itu yang saya suka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram