
TABIAT pemakanan buruk yang diamalkan dalam sesetengah keluarga terutamanya mereka yang memiliki anak-anak obesiti dapat dibendung dengan amalan perubahan gaya hidup sihat.
Ibu bapa yang mempunyai situasi anak berat berlebihan ini bergelut mengawal berat badan mereka kerana sering kali menghadapi masalah sama apabila anak-anak makan secara berlebihan dan kerap menikmati snek lewat malam.
Menurut perkongsian Masrah Marsinda, 36, yang memulakan perubahan gaya hidup tahun lalu, dia menyedari anak lelakinya berusia sembilan tahun sering sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal dan mudah jatuh sakit.
BACA LAGI: Tiga gaya hidup sihat pelajar patut amal untuk kekal cemerlang dalam pelajaran
BACA LAGI: Pesakit diabetes kini boleh 'berguru' secara online amal gaya hidup sihat bersama KKM
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, anaknya, Imaan Mikael Reki Handoko, mula menghadapi masalah berat badan sejak berusia lapan tahun.
"Ketika usia sembilan tahun beratnya adalah 44 kilogram (kg), jadi saya perlu memikirkan cara untuk mengawal pengambilan makanannya," katanya.
Ibu bapa yang mempunyai situasi anak berat berlebihan ini bergelut mengawal berat badan mereka. — Gambar hiasan/Agensi
Masrah berkata, bagi setiap hidangan, dia akan mengurangkan kuantiti nasi yang diambil misalnya makan nasi tiga kali sehari kepada dua kali sahaja sehari.
"Saya juga akan pastikan dia tidak makan pada lewat malam sebelum pukul 8 malam," katanya.
Masrah berkata, dia juga akan melakukan senaman 'brisk walks' bersama anaknya untuk kekal aktif.
Masrah berkongsi bahawa dia juga akan melakukan senaman 'brisk walks' bersama anaknya untuk kekal aktif. — Gambar hiasan/Agensi
"Bohonglah kalau saya cakap ia tak sukar. Ada kalanya, anak saya menangis pada waktu malam kerana dia lapar dan saya terpaksa mengalah," tambahnya.
"Anak saya mengambil masa kira-kira lima hingga enam bulan sebelum dapat melihat perubahan ketara pada fizikalnya.
"Amalan gaya hidup sihat ini sebenarnya melibatkan seluruh keluarga, tiada lagi amalan makan lewat malam atau makan makanan berlebihan yang tidak sihat," katanya.
Ibu kepada empat orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Liz berkata, dia menyedari anak sulungnya itu mula naik berat badan apabila berusia 12 tahun.
"Saya perasan dia suka makan snek lewat malam, seperti pengambilan piza sambil menonton televisyen bersama adik-beradiknya, dan dia berulang kali memeriksa peti ais untuk mencari lebih banyak makanan," katanya.
Ada ibu bapa terpaksa mengurangkan kadar pengambilan makanan untuk anak mereka bagi mencegah obesiti.— Gambar hiasan/Agensi
Liz berkata, pada mulanya sukar untuk memujuk anak perempuannya itu mengubah tabiat pemakanannya, tetapi dia tetap berusaha memastikan anak perempuannya itu membesar dengan sihat.
“Saya akan mengajaknya bersiar-siar hampir setiap hari. Pada mulanya, dia keberatan tetapi lama-kelamaan, tabiat berjalan-jalan ini secara tak langsung membantu meningkatkan ikatan ibu dan anak perempuannya di samping memberi kecergasan badan," katanya.
Liz berkata, dia mengambil masa beberapa bulan untuk melihat perubahan ketara berat anak perempuannya dan perubahan gaya hidup yang dilakukan itu memberi kesan positif kepada kesejahteraan seluruh keluarga.
"Kami semua mula membuat pilihan makanan yang lebih sihat dan memilih untuk lebih aktif setiap hari," katanya.
Tinjauan Kesihatan Dan Morbiditi Kebangsaan 2022: Laporan Ibu dan Anak menunjukkan sebanyak 80.3 peratus ibu bapa tidak menyedari anak mereka obesiti, manakala 26.4 peratus malah cuba meningkatkan berat badan anak mereka yang sudah berlebihan.
Hanya 7.5 peratus ibu bapa cuba mengurangkan berat badan anak-anak mereka yang berlebihan.
Kementerian Pendidikan menjalankan ujian kecergasan standard kebangsaan untuk murid sekolah Malaysia berumur 10 hingga 17 tahun.
Murid prasekolah dan murid tahun satu hingga tahun tiga perlu membuat ujian indeks jisim badan (BMI).
Ujian itu dilakukan dua kali setahun, melibatkan pemeriksaan BMI dan ujian fizikal bagi memastikan pelajar aktif secara fizikal dan cergas agar mencapai kesihatan diri yang optimum. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram