Talasemia tidak terjadi kerana saka, tapi disebabkan genetik — Pakar perubatan


  • Sihat
  • Khamis, 11 Jul 2024

Pesakit talasemia dalam keadaan teruk perlu memasukkan darah setiap bulan bagi menggantikan sel darah merah mereka yang berkurangan. — Agensi

BARU-BARU ini, tular di media sosial mengenai penyakit talasemia yang dikaitkan dengan gangguan makhluk halus iaitu saka.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan masyarakat terutama individu yang disahkan menghidapi penyakit itu.

Lebih membimbangkan, kenyataan itu dikeluarkan oleh individu yang mengaku sebagai pengamal perubatan Islam.

BACA LAGI: Doktor ulas kes buah pinggang kering dihidapi anak kedua Eyra Hazali

BACA LAGI: Perut busung tak semestinya gara-gara sihir, ketahui penjelasan doktor perubatan

Tampil menjelaskan kekeliruan, seorang pakar perubatan, Dr Amirul Amzar menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa talasemia berpunca daripada saka.

"Talasemia bukan disebabkan oleh saka.

"Jin, sihir perkara ghaib memang wujud. Tetapi individu yang menipu tanpa miliki rasa bertanggungjawab juga wujud.

"Jangan biar diri anda jadi mangsa individu penipu sebegini," katanya.

Dr Amirul turut memberi penjelasan tentang penyakit talasemia supaya lebih ramai memiliki ilmu berkait masalah talasemia.

"Talasemia adalah penyakit sel darah merah dengan asal perkataannya daripada thalassa yang bermaksud laut.

“Sebab ia mula dijumpai dalam kalangan orang yang duduk dekat Lautan Mediterranean. Di tempat berkenaan, talasemia cukup dikenali kerana faktor genetik yang diwariskan daripada keturunan.

"Orang yang ada masalah talasemia mempunyai kerosakan pada gen yang mengekod penghasilan protein yang membentuk hemoglobin (Hb).

“Senang cerita, hemoglobin mereka tak macam orang lain. Akibatnya sel darah merah mereka yang mengandungi hemoglobin rosak tidak mampu hidup lama seperti hemoglobin orang tanpa talasemia," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-10 at 9.45.28 PM

Ujian talasemia hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup.

Tambahnya lagi, penghidap talasemia dalam keadaan teruk perlu memasukkan darah setiap bulan bagi menggantikan sel darah merah mereka yang berkurangan.

"Penghidap talasemia teruk kita panggil talasemia major.

"Ada juga yang membawa gen tersebut, tapi tak ada kekurangan apa-apa. Perkara itu pula dipanggil sebagai talasemia trait,” katanya.

Dr Amirul turut mengakui pernah mengalami talasemia trait selepas disahkan melalui ujian makmal serta bersyukur apabila bacaan Hb beliau ialah 15-16.

“Buat masa ini tak ada rawatan yang berkesan untuk sembuhkan pesakit talasemia. Penyakit ini juga lebih banyak dalam kalangan orang Asia Tenggara. Jadi kami doktor selalu buat ujian untuk sahkan penyakit ini.

“Antara ujian saringan adalah full blood count (kiraan darah penuh), kemudian Hb electrophoresis dan kalau perlu akan dibuat analisis gen.

"Selepas disahkan, baru kita akan kesan sebagai pesakit talasemia,” katanya.

WhatsApp Image 2024-07-10 at 9.42.22 PM

Ibu bapa yang menghidap talasemia berpotensi menyebabkan anak mereka mewarisi penyakit itu.

Katanya lagi, pasangan bagi seseorang yang menghidap talasemia juga kebiasaannya akan dinasihati untuk membuat ujian bagi mengesan penyakit itu.

"Ada kemungkinan kalau kedua-dua ibu dan bapa ada membawa genes thalassemia, anak boleh menghidap talasemia major atau gugur dalam kandungan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram