
APABILA bercakap soal perut busung, masyarakat sering kali mengaitkan penyakit itu dengan kejadian mistik seperti perbuatan sihir dan sebagainya.
Malah, keadaan perut yang mengembung menjadi misteri sehingga ramai takut untuk mendekati individu yang memiliki masalah itu.
Bercakap soal itu, seorang pengamal perubatan, Dr Fahkrul Radzi Zubir tampil menjelaskan realiti mengenai perut busung.
BACA LAGI: Kes jantung menggelepar, beri CPR bergilir-gilir 3 minit bantu organ pam semula darah
BACA LAGI: Daging baru sembelih sebenarnya tak elok terus dimasak, enzim aktif boleh jadi punca darah tinggi
"Bukan sihir, bukan buatan orang, bukan santau, bukan ilmu hitam dan bukan kerja syaitan," katanya menerusi YouTube.
Dr Fahkrul Radzi Zubir atau juga dikenali Dr Fradzi berkata, pada asasnya, cairan dalam badan berlebihan boleh menyebabkan terkumpulnya air di kawasan abdomen sehingga menyebabkan perut busung.
Terdapat beberapa punca terjadinya masalah perut busung seperti:
1. Penyakit hati
Kerosakan hati kronik menyebabkan parut dan hipertensi portal (tekanan darah tinggi dalam vena portal) yang mengakibatkan cecair bocor ke dalam rongga perut.
2. Kanser
Perut seseorang boleh menjadi busung jika pesakit menghidap kanser organ perut seperti hati, ovari, peritoneum atau pankreas.
Kanser boleh menyekat aliran normal cecair sehingga menyebabkan peningkatan pengeluaran cecair.
3. Kegagalan jantung
Apabila jantung tidak dapat mengepam darah dengan cekap, maka cecair boleh terkumpul di pelbagai bahagian badan termasuk perut.
4. Penyakit buah pinggang
Kegagalan buah pinggang yang serius boleh menyebabkan pengekalan cecair di dalam badan termasuk di dalam perut.
5. Jangkitan
Jangkitan bakteria atau tuberkulosis dalam rongga perut (peritonitis) boleh menyebabkan keradangan dan pengumpulan cecair.
6. Pankreatitis
Keradangan pankreas boleh menyebabkan cecair pankreas bocor ke dalam rongga perut sehingga mengakibatkan asites.
D Fradzi berkata, doktor mengeluarkan air dari perut yang bengkak (ascites) melalui prosedur yang dipanggil paracentesis.
Berikut adalah langkah-langkah umum yang dilakukan semasa prosedur ini:
Pesakit yang mengalami perut busung perlulah mendapatkan rawatan doktor. — Gambar hiasan
1. Penyediaan
Pesakit diminta berbaring telentang atau dalam keadaan separuh duduk di atas kawasan rawatan yang disediakan.
Kemudian, bahagian perut yang hendak dicucuk perlu dibersihkan dengan antiseptik terlebih dahulu untuk mengelakkan jangkitan.
Dr Fradzi berkata, pakar perubatan boleh menggunakan ultrabunyi untuk menentukan lokasi terbaik untuk memasukkan jarum dan untuk mengelakkan organ dalaman.
2. Rawatan anestetik
Anestetik disuntik ke kawasan di mana jarum akan dimasukkan untuk mengurangkan kesakitan.
3. Prosedur paracentesis
Jarum khas yang digunakan hendaklah dimasukkan dengan teliti dengan melalui dalam kulit untuk ke rongga peritoneal.
Sebaik sahaja jarum atau kateter berada di tempat yang betul, cecair mula dikeluarkan.
Dr Fradzi berkata, cecair ini boleh dialirkan ke dalam bekas atau beg steril.
4. Persampelan
Dr Fradzi berkata, sebilangan kecil cecair boleh diambil untuk analisis di makmal untuk menentukan punca asites.
5. Prosedur akhir
Setelah jumlah cecair yang mencukupi dikeluarkan, jarum atau kateter pula akan dikeluarkan.
Kemudian, kawasan tubuh badan yang dicucuk dengan menggunakan jarum akan ditutup dengan pembalut steril.
6. Pemantauan dan tindakan susulan:
Setelah itu, pesakit kebiasaannya diminta berehat seketika supaya dapat memantau keadaan pesakit bagi mengelak komplikasi.
Perkara itu juga dibuat bagi memastikan pesakit tidak memiliki sebarang jangkitan kuman.
Seterusnya, doktor akan menilai keputusan analisis cecair dan menentukan langkah rawatan lanjut berdasarkan punca asas asites.
Prosedur ini kebiasaannya tidak berbahaya, namun terdapat risiko terjadinya masalah seperti jangkitan, pendarahan atau kecederaan pada organ dalaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram