SELEPAS banyak mengetengahkan isu-isu berkait dunia hiburan, mStar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), mStar Baek membantu ramai golongan yang menghadapi ujian dalam hidup.
Buat kali kedua program ini, mStar memilih untuk berkolaborasi bersama KPJ Healthcare dengan memperluaskan sasaran kepada golongan gelandangan dan orang awam, selain enam selebriti yang ditimpa kesusahan.
Prihatin terhadap gelandangan, team 'mStar Baek Jalinan Kasih Prihatin' bersama team KPJ menghulurkan bantuan kepada golongan itu di sekitar Chow Kit untuk merasai keperitan hidup mereka pada Ramadan lepas.
BACA LAGI: Dikecam jadi 'pakar', bekas pelajar PhD basuh netizen salah faham gelaran Tokti
BACA LAGI: Cipta busana Naomi dan Lady Gaga, Adele dan Beyonce kini dalam ‘list’ Rizman Ruzaini
Penyanyi dan pelakon era 1980-an, Isma Aliff menerima sumbangan daripada program CSR, mStar Baek.
Tidak hanya itu, ramai artis yang menerima sumbangan seperti penyanyi, Izam (Eye) yang diuji masalah kesihatan selepas diserang strok pada 2019; pelakon, lqbal Mazlan yang hilang deria penglihatan; penyanyi Dwan (Olan) yang menderita akibat penyakit angin ahmar dan sakit buah pinggang sejak Mac 2022.
Selain itu, pelakon lain yang turut menerima sumbangan adalah penyanyi dan pelakon era 1980-an, Isma Aliff yang dijangkiti kuman pada paru-paru; bapa kepada arwah Along Spoon, Pak Engku yang menghidap diabetis sehingga kaki kanan dipotong dan juga Allahyarham Jaafar On yang berdepan beberapa masalah kesihatan.
Mendapat sambutan di luar jangkaan, musim kedua program itu yang memaparkan sebanyak lapan episod menerima purata 10 juta tontonan di semua platform digital mStar termasuk Youtube, Facebook, Instagram dan Tiktok.
Untuk rekod, sebanyak RM3,000 wang disumbangkan kepada individu terpilih selain mereka menerima kad rawatan perubatan bagi membolehkan seisi keluarga mendapat pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) selama setahun.
Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, segmen itu tercetus selepas melihat seorang penggiat seni ditimpa ujian hidup namun seakan-akan tidak dipedulikan lagi
"Mereka ini pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.
"mStar yang banyak ketengahkan dunia hiburan tempatan rasa ada tanggungjawab untuk bantu mereka dengan sediakan platform.
"KPJ Healthcare juga boleh bantu bekalkan keperluan lain seperti nasihat pakar perubatan," katanya sewaktu majlis penyerahan sumbangan jalinan kasih prihatin, KPJ Healthcare dan mStar Baek di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada Selasa.
Niezam berkata, dengan program sebegini mereka dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa menjadi keperluan untuk membantu individu yang besar jasanya dalam individu dan masyarakat selain mengetengahkan kisah kehidupan orang ramai di portal.
"Menariknya program seperti ini mendapat kerjasama yanq baik daripada pihak-pihak dan agensi tertentu dalam usaha menunjukkan sikap kasih sayang terhadap golongan memerlukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram