BUKAN mudah untuk menghasilkan sesuatu karya yang dapat memenuhi citarasa semua orang.
Itulah kata-kata yang boleh diucapkan apabila sebuah drama jenayah, Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu? menerima kecaman oleh penerbit tempatan yang lain.
Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran di laman X penerbit drama itu, Datuk Saniboey Mohd Ismail memaparkan perbualan WhatsApp miliknya dengan seorang penerbit.
BACA LAGI: 'Dia yang menyatukan dan memisahkan', rakan artis titip pesan buat rumah tangga Nora-Nedim
Dalam perbualan itu, penerbit yang tidak didedahkan nama itu menganggap tidak sesuai mengambil Aloy Paradoks sebagai watak utama yang digandingkan dengan Zahirah MacWilson.
"Sayang, pairing tak kena. I ingatkan you pakai sebagai pelakon tambahan tadi. Dengan botaknya," katanya.
Penerbit berkenaan turut menganggap slot Lestary TV3 tidak mementingkan lakonan seseorang pelakon, sebaliknya lebih mementingkan rupa serta populariti pelakon tersebut.
"Remy Ishak, Eddy Ashraf atau Betto Kushairy barulah crime," katanya.
Malah, penerbit yang tidak didedahkan nama itu menganggap aspek teknikal drama bersiri bagi slot itu seperti framing serta colouring sama sekali tidak penting.
"Framing, colouring dan sebagainya. Orang kampung tak fikir tu," tulisnya.
Bercakap soal itu, pengarah filem berkenaan, Ahmad Faizul Abdul Rashid tampil mengulas mengenai hal itu.
"Semua orang ada pendapat masing masing, tapi pelakon yang berbakat macam Aloy, tak salah kalau dijadikan watak hero," katanya kepada Majoriti.
Ahmad Faizul turut berpendapat bahawa tidak seharusnya seseorang diukur melalui rupa paras sahaja.
"Tak semestinya orang yang ada kalau rupa paras kacak sahaja yang boleh jadi hero.
"Paras rupa adalah bonus pakej seseorang pelakon, namun bukan menjadi pengukur keberkesanan watak yang dimainkan," katanya.
Ahmad Faizul turut berharap agar orang ramai memberi peluang untuk melihat potensi seseorang.
"Saya percaya Aloy telah memberikan yang terbaik dan memilih dia sebagai hero adalah pilihan yang tepat untuk drama ini.
"Walaupun Zahirah dikatakan tidak sepadan bergandingan dengan Aloy, namun beri peluang dan tonton dahulu lakonan mereka dalam Metro Crime Series ini.
"Saya percaya bahawa persembahan lakonan mereka tidak mengecewakan," katanya.
Drama arahan Megat Shahrizal dan Ahmad Faizul itu menampilkan pelakon seperti Zahirah MacWilson, Aloy Paradoks, Chew Kin Wah, Wan Raja, Mustaqim Bahadon, Azri Iskandar, Azhar Sulaiman, Nia Atasha, Amanda Tan, Aqilah Abas, Megat Adli dan ramai lagi.
Difahamkan, Datuk Saniboey Mohd Ismail menggunakan pengalamannya yang bertugas sebagai wartawan jenayah di syarikat akhbar, Berita Harian dan Harian Metro seawal 1991 untuk menjayakan drama jenayah itu.
Drama 10 episod itu juga bersiaran setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu pada pukul 9 malam di TV3. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram