Terpaksa tutup 2 kedai tapi tetap bantu orang susah, Metzshack bangkit pikat perut peminat burger


Pemilik kedai, Ady Husaini (kiri) bersama seorang pempengaruh, Sum Kopi.

DUA orang jejaka kreatif mencipta burger homemade berjenama Metzshack yang berjaya memikat perut rata-rata penduduk di Kedah.

Pemiliknya, Ady Hussaini Abdul Rohim telah memulakan perniagaan itu sejak 2019 bersama seorang rakan kongsinya, Fakhrul Amir.

Memiliki keistimewaan dalam menu, Ady berkata, burger yang dijual dihasilkan daripada inti daging dan sos buatan sendiri.

BACA LAGI: Terkedu 400 ayam mati akibat penyakit sampar, anak jati Banting tetap bangkit usahakan ternakan

BACA LAGI: [VIDEO] Terpaksa berhenti sekolah demi sara famili, lelaki tidak malu jadi pemungut sampah di usia muda

WhatsApp Image 2024-06-24 at 8.08.15 PM

Ady memasak burger di gerainya yang terletak di Alor Setar, Kedah.

"Dari segi pembuatan makanan itu memang kami amat teliti. Menjaga suhu untuk memasak inti daging kerana apabila suhunya tidak dijaga akan mempengaruhi rasa makanan itu," katanya kepada Majoriti.

Antara menu yang ditawarkan adalah classic beef, classic smash, cheese burger, double cheeseburger, old man, the auntie millie, gangnam beef, the o.g, cheesy chick dan gangnam chick.

Ady berkata, dia belajar mengenai pembuatan inti daging itu menerusi pembelajaran di laman TikTok dan YouTube untuk memberi kelazatan yang mencukup kepada pembeli.

"Burger yang kami jual biasanya memang orang akan repeat. Ini kerana rasa keenakan yang buat mereka merindui untuk menikmati makanan itu semula," katanya.

Sebelum terciptanya jenama Metzshack, Ady menjual burger di Pokok Sena dengan menggunakan jenama Ady Giant selama lebih lapan tahun.

"Ady Giant saya pilih nama itu kerana burger yang dijual gergasi. Burger besar daripada burger yang lain," katanya.

Bagaimanapun, dia menukar jenama perniagaannya kepada Metzshack pada 2019 selepas memilih untuk bekerjasama dengan Fakhrul dalam mencipta jenama baharu.

"Saya dengan Fakhrul memang kawan sejak kecil. Jadi masing-masing ada pengetahuan dalam burger jadi kami plan untuk bekerjasama," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-24 at 9.02.34 PM

Kedai lama Metzshack bertapak di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

Pastinya tidak mudah untuk membangunkan perniagaan burger memandangkan perniagaan jenis itu boleh didapati di merata tempat.

Ady berkata, perniagaan Metzshack yang dijalankan pernah mengalami kegagalan sehingga terpaksa menutup dua buah kedai yang bertapak di Jitra, Kedah.

WhatsApp Image 2024-06-24 at 8.57.11 PM

Jenama Metzshack kini bertapak di Alor Setar, Kedah.

Tidak mudah menyerah kalah, Ady kini aktif dalam penjualan burger Metzshack di tepi jalan yang terletak di Mokti’s Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah selepas terpaksa menutup dua kedainya.

Pemuda berasal Pokok Sena, Kedah itu berkata, dia tidak mahu berputus asa begitu sahaja susulan memiliki banyak hasrat terpendam yang mahu dicapai termasuk membantu orang yang memerlukan.

"Saya masih ada tiga pekerja yang datang daripada golongan yang susah.

"Ada pekerja yang berumur 17 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana kesempitan wang. Jadi saya mahu membantu mereka dengan mengambil mereka bekerja," katanya.

Kini, lelaki berusia 34 tahun itu bersama rakan kongsinya tekun untuk menaikkan perniagaannya dengan menggunakan teknik pemasaran di media sosial.

Antaranya, dengan menggunakan aplikasi TikTok dan Instagram untuk meningkatkan lagi jumlah pelanggan.

Jenama Metzshack juga kreatif mengikuti perkembangan semasa dengan memuat naik video masakan burger di gerai mereka agar lebih ramai terliur melihatnya.

Ady berkata, dia memiliki harapan untuk mengembangkan perniagaannya supaya dapat meningkatkan lagi pemasaran jenama itu di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram