Terkedu 400 ayam mati akibat penyakit sampar, anak jati Banting tetap bangkit usahakan ternakan


Shahrul Ali Mohd Sharif gigih mengusahakan ayam kampung di sekitar rumahnya yang terletak di Banting, Selangor.

BERDEPAN dengan kesukaran semasa mengusahakan ternakan ayam tidak mematahkan semangat seorang usahawan 'otai' untuk terus memasarkan perniagaan yang dijalankan.

Itu yang dialami Shahrul Ali Mohd Sharif apabila pernah kehilangan kira-kira 400 ekor ekor ayam yang mati akibat penyakit sampar ayam atau Newcastle Disease (ND) pada November 2023.

"Ayam yang sudah terbiasa berada di luar reban tidak boleh bercampur dengan ayam yang dijaga dalam reban.

BACA LAGI: KPS bekalkan peralatan dan kelas latihan, mahu bantu B40 kembangkan penternakan ayam kampung

BACA LAGI: Usahawan OKU buka maahad tahfiz, dorong murid kuasai ilmu agama, Bahasa Mandarin

WhatsApp Image 2024-06-10 at 10.06.50 PM

Shahrul memiliki lima reban meliputi pelbagai jenis ayam kampung di sekitar rumahnya.

"Dilarang bawa masuk ke dalam reban kerana ayam jenis luar ada ketahanan tubuh yang berbeza iaitu lebih kuat.

"Dia (ayam luar) akan bawa sekali penyakitnya kepada ayam lain apabila kita masukkan sekali ke dalam reban," katanya.

Bagaimanapun, sewaktu ayam yang diternak mati, dia terus gigih mencari modal untuk membeli baka ayam yang baik dengan cara menjual makanan ayam.

"MyFundAction beli makanan ayam yang kami jual. Jadi dapat modal semula untuk naikkan perniagaan," katanya.

Tidak hanya itu, lelaki berasal Banting itu juga memilih untuk menghasilkan sendiri makanan ayam berbanding membeli kerana kos dedak ayam yang tinggi.

"Kita penternak kecil-kecilan tidak mampu. Apa yang saya dan keluarga buat adalah cari ilmu buat makanan ayam sendiri.

"Apabila sudah buat sendiri makanan ayam penjimatan hampir 50 peratus daripada kos asal," katanya.

Shahrul Ali berkata, makanan ayam yang dibuat turut dibeli oleh penternak-penternak ayam yang lain.

WhatsApp Image 2024-06-10 at 10.10.06 PM

Shahrul juga menternak ayam baka arab untuk dijual.

Selepas membeli baka-baka ayam yang baik, kini, penternakan ayamnya sudah mencapai kira-kira dalam 499 ekor dengan penjagaan rapi di lima buah reban yang berada di sekitar rumahnya yang terletak di Banting, Selangor.

"Nak pilih baka itu baik atau tidak kena pergi ke reban untuk lihat bagaimana ayam itu dibesarkan dan pemakanan yang diberikan kepada ayam itu," katanya.

Antara jenis-jenis ayam yg dibela sejak 2022 adalah ayam kampung asli baka sabung, jerai, arab.

Shahrul Ali berkata, kesemua jenis ayam kampung yang dibela akan diasingkan bagi mengelak pergaduhan merebut ayam betina.

"Asingkan jantan dan betina supaya ayam jantan tidak membunuh ayam betina.

"Bila bercampur wujud pesaingan antara ayam jantan untuk merebut ayam betina. Biasa akan gaduh dan ada ayam yang mati.

"Jadi penting asingkan supaya ayam betina dapat membesar dengan cantik," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-10 at 10.02.56 PM (1)

Shahrul juga menjual telur ayam kampung untuk menaikkan lagi pemasaran perniagaannya.

Memilih untuk menternak ayam kampung baka arab, Shahrul Ali berkata, haiwan jenis itu mampu menghasilkan telur yang banyak

"Ayam kampung baka arab istimewa kerana boleh keluarkan dalam 250 hingga 300 biji setahun.

"Saya juga berminat bela ayam kampung kerana saya nak jadi pengeluar ayam kampung," katanya.

Shahrul berkata, antara sebab dia mahu menjadi pengeluar ayam kampung adalah kerana ianya memiliki harga yang tinggi dalam pasaran.

"Ayam kampung nilainya dalam RM1 sebiji. Kami juga ada keluarkan produk baharu iaitu ayam kampung jenis frozen," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-10 at 10.07.27 PM

Shahrul juga menjual ayam kampung beku.

Selain menjual makanan ayam, lelaki berusia 53 tahun itu juga menjual telur ayam, benih, pembaka, induk, ayam beku dan juga daging ayam.

"Pernah juga orang datang jauh-jauh dari Kelantan ke Banting semata-mata untuk beli ayam yang saya jual," katanya.

Bagi pemula yang ingin menceburi ternakan ayam, Shahrul berharap agar mereka tidak memiliki rasa malu untuk mengusahakannya.

"Ternakan ayam kampung patut diceburi, jangan ada rasa malu dan terus fokus sehingga berjaya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram