SEBANYAK RM157,000 diperuntukkan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad bagi menyediakan perniagaan penternakan ayam kampung kepada masyarakat B40 di sekitar Selangor.
Projek Sustainable Community Poultry Project (SCoPP) di bawah kelolaan MyFundAction itu membuka peluang kepada 12 orang golongan B40 untuk membangunkan penternakan dan perniagaan mereka sendiri dengan menternak 200 ekor ayam untuk satu kitaran.
Pengurus Projek SCoPP, Hariz Danial Safruddin berkata, penternak juga dibekalkan dengan kelas-kelas khas seperti penjagaan reban, pemasaran, pengurusan operasi, kewangan dan lain-lain.
BACA LAGI: Cedera ACL tak patahkan semangat Amylia cipta nama bersama Malaysia Dugong sampai ke Jepun
BACA LAGI: Tidak patah semangat tangan termasuk mesin, usahawan OKU 'berguru' sehingga ke Hawaii
Penternakan ayam yang dijalankan oleh seorang peserta SCoPP, Shahrul Ali Mohd Sharif.
"Selain dibekalkan 200 ekor ayam, mereka juga diberikan latihan menerusi kelas khas.
"Ini dibuat untuk tingkatkan lagi kemahiran penternak dalam bidang penternakan ayam kampung," katanya.
Hariz Danial turut berkata, MyFundAction dan KPS Berhad akan menyediakan beberapa kemudahan peralatan kepada penternak yang sudah menyertai SCoPP sejak tahun lalu.
"Antara peralatan yang diberi adalah peti sejuk beku, mesin pencabut bulu ayam, dan mesin pembungkus vakum bag menghasilkan produk ayam kampung kacuk sejuk beku (frozen)," katanya.
Untuk rekod, sebanyak lapan orang peserta SCoPP 2023 sudah memasuki kitaran pengeluaran keenam manakala empat orang peserta baharu memasuki kitaran pengeluaran kedua dengan purata berat ayam antara 1.2 (kilogram) kg ke 1.5kg setiap ekor.
MyFundAction juga amat mengalu-alukan sokongan dan kesudian mana-mana syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan yang ingin berkolaborasi dan bekerjasama bagi membantu masyarakat yang terjejas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram