Usahawan OKU buka maahad tahfiz, dorong murid kuasai ilmu agama, Bahasa Mandarin


Hezma bersama anak-anak murid yang mengikuti pembelajaran di Maahad Tahfiz Hez Mahabbah, Bukit Beruntung, Rawang.

APABILA bercakap soal maahad tahfiz, pasti ramai berfikir bahawa ia dibina untuk mendidik anak murid agar mampu menghafaz al-Quran dengan sempurna.

Maahad tahfiz juga kebiasaannya akan menerapkan ilmu agama yang cukup bagi melatih anak-anak muda memiliki iman yang kuat.

Menampilkan keunikan dalam pembelajaran, sebuah institusi pendidikan, Maahad Tahfiz Hez Mahabbah yang terletak di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor bergerak dengan menerapkan pembelajaran Bahasa Mandarin kepada murid.

BACA LAGI: Tuah manusia siapa yang tahu, usahawan bisu berbakat fotografi dapat tawaran kerja bersama Raja Muda Selangor serta-merta

BACA LAGI: Peniaga jus kurkumin diangkat jadi Ikon Usahawan OKU Selangor edisi ke-5

336090875_897663048131194_513469239585669822_n (1)

Anak murid yang belajar di Maahad Tahfiz Hez Mahabbah.

Lebih mengagumkan, ianya dibina atas usaha seorang usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mahu melihat anak muda kini memiliki kemahiran berbahasa Cina agar lebih berdaya saing.

Usahawan OKU itu, Hezma Hashim pada mulanya dilahirkan sebagai seorang wanita yang normal namun kerana mengalami tekanan melampau akibat pengalaman masa lampau, dia disahkan menghidapi major depression dan tergolong dalam golongan OKU.

Hezma berkata, idea pembukaan institut pendidikan tersebut tercetus kerana teringat momen didikan ibu bapanya.

"Mak ayah sangat pentingkan Bahasa Mandarin sampaikan semua adik-beradik saya dihantar ke sekolah vernakular itu.

"Bapa saya melihat potensi pembelajaran Bahasa Cina sangat penting pada masa akan datang," katanya.

Mengimbau kenangan sewaktu kecil, Hezma kebiasaannya akan menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Hwa, Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada waktu pagi dan mengikuti kelas agama pada waktu petang.

"Pagi pergi sekolah, petang ke sekolah agama. Malam pula saya belajar al-Quran," katanya.

Sejak itulah ibu kepada tiga orang anak itu berkeinginan menerapkan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak muda di Selangor.

"Maahad tahfiz saya memang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kami juga menerima pelajar yang normal dan juga OKU.

"Ada sesi kelas Bahasa Mandarin tambahan untuk pelajar," katanya.

325582222_714675183521077_5664989000032602856_n (1)

Anak murid mengikut pembelajaran di Maahad Tahfiz Hez Mahabbah.

Semasa mengajar, Hezma juga kerap bertutur dalam bahasa ibunda masyarakat Tiong Hua itu untuk membolehkan anak muridnya terbiasa dan mampu memiliki asas kemahiran dalam bahasa berkenaan.

"Saya bertutur dalam Bahasa Mandarin untuk ayat macam mahu pergi makan, pergi ke tandas sampai anak-anak di maahad sudah boleh cakap guna bahasa berkenaan," katanya.

Maahadnya juga menambah program-program islamik dan latihan kemahiran melibatkan peserta OKU kepada semua peringkat umur.

Antara program khas yang dibuat adalah program tadarus Ramadan, program qiamullail, program solat jenazah, program berkhatan dan program cuti sekolah.

Mengarungi pelbagai rintangan dengan sabar dan kuat, Hezma juga gigih menjaga tiga orang anak OKU selain suaminya yang juga OKU.

"Suami saya tidak boleh bekerja kerana disahkan OKU pelbagai (multiple disabilities). Anak saya pula dua orang miliki masalah pembelajaran, seorang anak lagi autisme.

"Jadi untuk menaikkan pertubuhan maahad ini, saya juga buka perniagaan supaya ada modal untuk mengembangkan maahad ini.

"Saya ada lesen penjaja jadi biasanya pagi-pagi di hadapan maahad saya akan jual nasi lemak," katanya.

Tidak hanya itu, dia juga memiliki perniagaan kecil-kecilan seperti menjual coklat berjenama produk Hez Choco Jar dan juga membuka perniagaan katering.

"Inilah cara supaya dapat kembangkan maahad kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram