MASYARAKAT dikejutkan mengenai berita kematian membabitkan dua mangsa yang mengalami keracunan makanan selepas memakan bihun dan telur goreng pada Selasa.
Kes pertama melibatkan remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun telah memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya selepas menghadiri program di sebuah sekolah di Gombak pada Sabtu.
Manakala mangsa kedua melibatkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Sementara itu, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), hasil siasatan mendapati terdapat 82 mangsa termasuk 48 perempuan mengalami gejala cirit-birit dan atau muntah bermula Sabtu lalu selepas mengikuti sebuah program di Sekolah Agama Integrasi Sungai Chinchin, Gombak, Selangor.
BACA LAGI: Kes 2 pelajar maut keracunan, KKM sahkan sarapan disediakan pengendali makanan luar
BACA LAGI: Anak kena kudis buta sampai kuku tercabut, doktor kongsi petua elak kutu berjangkit
Dua mangsa yang mengalami keracunan makanan selepas memakan bihun dan telur goreng pada Selasa. — Gambar hiasan
Mengulas mengenai isu keracunan makanan, doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan tampil menegaskan bahawa telur boleh menjadi bahaya jika tidak dikendalikan dengan sempurna.
"Bakteria seperti Salmonella boleh mencemarkan telur dan menyebabkan gejala yang serius seperti cirit-birit, muntah-muntah, kejang perut, demam tinggi dan dalam kes yang sangat teruk, kematian," katanya menerusi laman Facebook.
Dr Kamarul Ariffin turut memberi beberapa langkah penting yang perlu dititikberatkan seseorang bagi mengelakkan risiko keracunan makanan disebabkan oleh telur.
1. Pemilihan telur
Pemilihan telur yang baik sangat penting untuk memastikan kualiti dan kesihatan tubuh badan seseorang.
Sewaktu di kedai, seseorang perlulah peka membuat pemilihan agar tidak terambil telur yang rosak.
"Pilih telur yang tidak retak," katanya.
Ini kerana, Dr Kamarul berkata, risiko keracunan adalah lebih rendah meskipun telur yang tidak retak juga boleh dicemari bakteria sebelum pembentukan kulit telur.
Seseorang perlulah memilih telur dengan sebaiknya dan mengelak daripada mengambil telur yang retak.
2. Pembersihan telur
Membersihkan telur dengan betul adalah sangat penting untuk mengurangkan risiko pencemaran bakteria terutamanya bakteria Salmonella yang boleh berada di permukaan kulit.
"Seseorang perlulah membersihkan telur dengan lembut sebelum menyimpan.
"Menggosok telur terlalu kuat boleh merosakkan lapisan perlindungan semula jadi pada kulit telur, yang boleh mempercepatkan kerosakan," katanya.
3. Penyimpanan telur.
Telur perlulah disimpan ke dalam peti sejuk dengan menggunakan bekas tertutup bagi mengelak tercemar dengan makanan lain.
Suhu sejuk antara 0 hingga 4°Celsius mampu membantu melambatkan pertumbuhan bakteria.
4. Pemeriksaan telur sebelum memasak.
Cara terbaik yang boleh dilakukan seseorang adalah dengan memecahkan telur ke dalam mangkuk untuk diperiksa kualitinya.
Dr Kamarul Ariffin berkata, pastikan telur tidak berbau atau berwarna pelik yang menunjukkan tanda-tanda pembusukan atau pencemaran berlaku.
5. Masak telur dengan sempurna.
Pastikan telur dimasak hingga bahagian kuning dan putihnya keras sepenuhnya.
Untuk lebih mudah, seseorang boleh memasak hingga suhu dalam mencapai 70°C.
Dalam pada itu, Dr Kamarul Ariffin berkata, telur pasteur adalah telur yang telah diproses untuk membunuh bakteria berbahaya tanpa memasak telur sepenuhnya.
"Ini adalah pilihan yang lebih selamat terutama untuk resipi yang menggunakan telur mentah atau separuh masak," katanya.
Menurutnya, penting untuk diingat bahawa kanak-kanak di bawah umur lima tahun, warga emas, wanita hamil, dan individu dengan sistem imun yang lemah adalah lebih berisiko tinggi terhadap keracunan makanan.
"Oleh itu, mengambil langkah berjaga-jaga adalah sangat kritikal. Mari kita semua bertindak proaktif dalam menjamin keselamatan makanan di rumah kita.
"Dengan mengikuti panduan ini, kita dapat membantu mencegah berulangnya tragedi seperti yang baru-baru ini terjadi, menjadikan masyarakat kita tempat yang lebih selamat untuk semua," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram