KONSERT CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur yang berlangsung pada Sabtu malam dibanjiri ribuan penonton yang hadir ke Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Para peminat sanggup beratur panjang demi mewujudkan mimpi iaitu bertemu ketiga-tiga ahli kumpulan CNBLUE iaitu Yonghwa sebagai vokalis utama dan gitar, Minhyuk sebagai pemain dram serta Jungshin sebagai pemain bass.
Meskipun belum memulakan persembahan, sudah kedengaran tepukan gemuruh peminat CNBLUE yang menggemakan pentas anjuran Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment itu.
Konsert itu dipenuhi para penonton yang memakai pakaian serba biru yang bertepatan dengan warna rasmi CNBLUE.
Sudah pasti, ketiga-tiga pemuda kacak tersebut berjaya memikat hati peminat dengan lagu-lagu yang dinyanyikan pada malam berkenaan.
Antara lagu lagu yang mencuri hati penonton adalah I'm a Loner, Love, Intuition, Hey You, Imagine, Love Light, You're so fine dan Love, 99%, Lady dan Coffe Shop.
BACA LAGI: CNBLUE kembali ke Malaysia selepas satu dasawarsa
Peminat membanjiri konsert CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur yang berlangsung pada Sabtu malam.
Ahli kumpulan CNBLUE juga dilihat membuat persediaan rapi apabila mereka mampu melontarkan sesetengah perkataan dalam bahasa Malaysia.
"Awak sangat cantik, Malaysia bagus, mantap gila," antara kata-kata yang keluar dari ketiga-tiga ahli kumpulan tersebut di atas pentas.
Pastinya, para gadis yang sudah lama menanti untuk bertemu ahli kumpulan berkenaan 'cair' mendengar perkataan itu.
Selain itu, CNBLUE turut menyampaikan lagu popular mereka seperti Time Capsule, SE(VHS) + Winter Again, Till Then, Hide and Seek, Cinderella, In My Head, I'm Sorry, Radio dan Between Us.
Ketika melakukan konsert, ketiga-tiga anggota CNBLUE turut meluahkan rasa rindu kepada peminat di negara ini setelah sekian lama tidak mengadakan konsert di Malaysia.
Setelah merasai kemeriahan konsert yang dibuat, CNBLUE juga berjanji akan datang kembali ke Malaysia dalam masa yang terdekat.
"Saya janji, promise, selamanya Malaysia boy," kata Yonghwa dalam konsert berkenaan.
Untuk rekod, konsert ini merupakan konsert kedua CNBLUE di Malaysia selepas berjaya menghiburkan peminat sekitar 2013 melalui konsert Blue Moon 2013 CNBLUE World Tour.
Sepanjang kerjaya mereka, CNBLUE telah merakamkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan bahasa lain dengan diskografi yang merangkumi 11 album studio, 14 album mini (EP), 33 single dan tiga album kompilasi.
Ahli kumpulan CNBLUE memiliki ramai peminat di serata dunia kerana mereka berbakat besar dalam nyanyian selain sering muncul dalam bidang lakonan menerusi K-drama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram