KECEDERAAN tidak patahkan semangat altlet frisbee tempatan untuk terus bangkit mencipta nama sehingga mampu terpilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Terbaik Pantai Lautan Asia di Jepun.
Itu yang dialami ahli kumpulan Malaysia Dugong, Amylia Mohd Sharif yang hampir terpaksa melupakan impian membawa nama Malaysia gar-gara pernah mengalami kecederaan di ligamen anterior cruciate (ACL) semasa berlatih pada 2019.
Malah insiden itu turut mengakibatkan dia mengambil masa selama sembilan bulan bagi menjalani proses pemulihan dengan sempurna.
"Waktu itu saya perlu jalani terapi di hospital dan juga saya juga jalani proses pemulihan sendiri," katanya kepada Majoriti.
Mengambil jangka waktu pemulihan yang lama, ahli keluarga Amylia juga mempersoalkan keputusannya yang masih tetap mahu meneruskan perjuangan dalam permainan Frisbee.
"Saya satu-satunya yang aktif sukan dalam keluarga, jadi apabila beritahu mereka saya cedera ACL, mereka tertanya mengapa saya masih mahu bermain Frisbee," katanya.
Namun, menurutnya, tiada suatu perkara pun yang boleh membuatnya berhenti daripada bermain Frisbee.
"Jangan biarkan orang menghentikan kita. Saya juga antara yang paling senior di kalangan ahli kumpulan.
Kejohanan APT Ultimate Frisbee Open di Pantai Serai, Sepang, Selangor, baru-baru ini turut disertai ahli pasukan Malaysia Dugong.
"Ahli kumpulan yang muda-muda pastinya memiliki stamina yang lebih lagi iaitu mampu berlari lebih laju seumpama tiada tenaga yang habis.
"Tetapi apa pun tetap terus kuat dan jangan bagi orang fikir yang anda tidak boleh lakukan hal itu," katanya.
Bercerita mengenai permulaan perjalanannya dalam sukan frisbee, Amylia mulai berjinak-jinak dalam sukan itu selepas mengikuti rakan-rakannya.
"Waktu saya berada di United Kingdom, ada kawan ajak bermain sekali. Sejak situlah saya mulai bermain.
"Tetapi di sekolah dulu memang saya sering menonton perlawanan frisbee," katanya.
Untuk rekod, wanita asal Selangor itu memperoleh pendidikan ijazah dan sarjana di University of the West of England dan sarjana di CASS Business School di London, United Kingdom (UK).
Siapa sangka, selepas bermain secara santai di UK, dia mulai berlatih untuk perlawanan sukan frisbee dengan lebih serius sejak kembali ke Malaysia pada 2019.
Sukan Frisbee semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Setiap perlawanan pasti memiliki cabaran tersendiri, Amylia beranggapan cabaran yang paling sukar dihadapi adalah dari sudut mental.
"Waktu awal-awal mula bermain saya sudah cedera. Jadi kadang-kala saya ragu-ragu dengan tubuh badan.
"Saya dah tidak agresif seperti sebelum kecederaan. Ambil masa dalam dua tahun juga untuk elokkan semula mental saya," katanya.
Amylia (depan, dua dari kanan) sentiasa menerima suntikan semangat daripada ahli pasukan Malaysia Dugong yang lain untuk kembali pulih.
Namun, Amylia berkata, dia mendapat semangat yang kuat daripada ahli pasukannya untuk terus mencipta nama di persada dunia.
"Pasukan banyak tolong beri sokongan apabila tahu saya mahu kembali ke pasukan selepas cedera," katanya.
Kini, wanita berusia 30 tahun itu sedang membuat persiapan rapi sebelum menuju ke Kejohanan Terbaik Pantai Lautan Asia di Jepun pada 12 Jun sehingga 16 Jun depan.
"Biasanya team Malaysia Dugong memang akan berlatih dalam tiga hingga jam pada setiap Ahad di Putrajaya.
"Kami juga pergi ke Bagan Lalang, Selangor untuk perlawanan persahabatan bersama pasukan-pasukan Malaysia yang lain," katanya.
Untuk rekod, dalam pertandingan terbabit, seramai 16 orang pasukan kebangsaan Malaysia itu akan menentang pasukan dari negara lain seperti Jepun, India, Thailand dan Hong Kong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram