MEMILIKI kecacatan fizikal tidak mematahkan semangat seorang usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengusahakan dua perniagaan di Malaysia.
Seorang usahawan OKU, Murugan Subramaniam berkata, dia mulai memiliki kecacatan pada bahagian tangan semasa bekerja secara sambilan sewaktu tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Tengah tunggu keputusan SPM, saya pun kerja sementara dan ada insiden tidak diduga terjadi. Tangan saya termasuk ke dalam sebuah mesin di tempat kerja.
BACA LAGI: Peniaga jus kurkumin diangkat jadi Ikon Usahawan OKU Selangor edisi ke-5
Murugan (tengah) bersama pekerja-pekerja lain yang mengikuti Diploma Pengurusan Pengetahuan di Hawaii, Amerika Syarikat.
"Hampir tiga tahun perlu jalani fisioterapi dan pelbagai rawatan untuk sembuh semula," katanya.
Selepas beransur pulih, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia dan bekerja sebagai pengurus kualiti selama 17 tahun di kilang Jepun yang bertapak di Shah Alam, Selangor.
Pastinya seseorang berasa sukar untuk meninggalkan pekerjaan yang sudah dibuat bertahun-tahun demi mencipta peluang baharu.
"17 tahun sudah kerja biasa mesti orang nak berhenti akan fikir dua, tiga kali.
"Saya rasa serba salah kalau mahu ambil cuti panjang sebab syarikat mesti tidak akan bagi, jadi saya berhenti untuk ke Hawaii," katanya.
Itulah keputusan yang diambil Murugan selepas mendapat tawaran biasiswa bagi melanjutkan pembelajaran dalam Diploma Pengurusan Pengetahuan selama empat bulan di Hawaii, Amerika Syarikat pada 2010.
Berani mencipta peluang yang ada, kini perniagaannya, Susumi Technology and Resources yang membekalkan barangan hadiah korporat berjaya menarik banyak syarikat-syarikat korporat untuk mencuba produknya.
"Kami bekalkan baju korporat kepada syarikat-syarikat yang ambil khidmat kami. Bukan itu sahaja, ada juga barangan seperti topi, beg dan cenderahati.
"Kadang ada temasya sukan, kami sediakan baju sukan, spek dan botol minuman air yang kesemuanya dilengkapi logo syarikat masing-masing," katanya.
Pekerja syarikat Susumi Synergy Malaysia yang melakukan kerja-kerja pembersihan.
Selain itu, Murugan juga mengusahakan perniagaan yang menyediakan khidmat servis pembersihan, Susumi Synergy Malaysia kepada syarikat-syarikat korporat.
"Kalau orang panggil memang pekerja saya akan turun ke tempat itu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Setiap perniagaan memiliki cabaran tersendiri, Murugan berkata, kesulitan yang sering dialami adalah berkait dengan modal pelaburan untuk menjayakan perniagaan selain kesukaran mencari tenaga kerja.
"Orang kita kerap mahu berhenti kerja tetapi apabila mahu ambil tenaga kerja warga asing agak sukar untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian," katanya.
Walaubagaimanapun, lelaki berusia 55 tahun itu berkata, perniagaannya bertambah baik selepas mengikuti Program Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD).
Beliau bersyukur kerana mengetahui banyak cara berkaitan pengurusan dengan lebih mendalam bagi melicinkan operasi perniagaannya.
"Saya diajar cara untuk uruskan akaun syarikat dan macam-macam perkara berkait pengurusan.
"Selepas mengikuti program ini saya nampak keuntungan naik 30 peratus dalam perniagaan saya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram