TIGA usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya dinobatkan sebagai Ikon Usahawan OKU negeri Selangor oleh Raja Muda Selanngor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Pengumuman kemenangan itu dibuat pada Program Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Kelima di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Pemenang pertama, Ahmad Anda Ismail yang menjalankan perniagaan jus kurkumin tidak menyangka nasib menyebelahinya dan berjaya membawa pulang geran perniagaan berjumlah RM4,000.
BACA LAGI: PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan
Ahmad Anda Ismail tidak menyangka terpilih sebagai juara dalam program SAY LEAD.
"Waktu dia umum pemenang itu, memang tak sangka yang saya akan menang. Sebab perniagaan-perniagaan yang bertanding pun sama-sama hebat," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, kurkumin ialah bahan bioaktif utama yang terkandung dalam kunyit.
Penghasilan jus kurkumin perusahaan Ahmad Anda dicampur dengan bahan lain seperti buah delima untuk menambah lagi khasiat serta manfaat kesihatan.
Pemenang kedua yang berjaya membawa pulang RM3,000 dimenangi oleh Mahmud Rasul, manakala pemenang ketiga yang membawa pulang RM2,000 dinobatkan kepada seorang jurugambar, Sazman Nazlee Adha Ali.
Tidak hanya mampu membawa pulang geran perniagaan, piala dan sijil pengiktirafan Selangor Youth Community (SAY) turut diberikan kepada tiga usahawan tersebut.
Program Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Kelima di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.
Lebih bertuah, mereka juga layak ke peringkat seterusnya iaitu SAY LEAD+ selain program bimbingan selama tiga bulan untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan.
Pertandingan itu diadili oleh Tengku Amir Shah di samping Ketua Bahagian Penasihat dan Pemantauan, Ahmad Daud Abdul Rashid; Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Muhd Firdaus Azharuddin.
Barisan juri turut dibarisi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara, Yuzawati Yusof; Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS dan Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad; Mohammad Syukri Ismail.
Kriteria pemilihan peserta adalah merupakan pemegang kad OKU yang sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berumur 18 hingga 40 tahun selain menjalankan perniagaan di kawasan negeri Selangor.
Menariknya, dalam edisi kali ini, para usahawan OKU pekak dan bisu juga turut menyertai dan menunjukkan potensi yang luar biasa seperti usahawan OKU lain.
Dengan bantuan daripada Jurubahasa Isyarat (JBI) semasa sesi pembentangan akhir dijalankan, mereka berhasil membuktikan bahawa mereka juga mampu dan berkeinginan seperti orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram