
SEORANG pendaki Nepal, Kami Rita Sherpa berjaya memecahkan rekod dunia selepas tiba di kemuncak Gunung Everest buat kali ke-29 pada Ahad.
"Kami Rita mencapai rekod baharu apabila tiba di puncak pagi Ahad," katanya.
Berpengalaman sebagai malim gunung atau sherpa selama dua dekad, Kami Rita mendapat jolokan Everest Man setelah berjaya menawan puncak ketinggian 8,849 meter ketika bekerja untuk sebuah ekspedisi komersial pada 1994.
Gambar Kami Rita Sherpa berjaya tiba di kemuncak Gunung Everest buat kali ke-28 terdahulu.
Sejak 20 tahun lalu, Kami Rita tidak pernah melepaskan peluang untuk menjadi malim gunung buat para pendaki yang mahu ke puncak Everest.
“Kembali lagi di puncak tertinggi di dunia buat kali ke-29. Pekerjaan saya yang menjadi impian pendaki lelaki dan wanita lain,” ujarnya menerusi catatan di Instagram ketika berada di kem pangkalan pada minggu lalu.
Pada tahun 2023, lelaki berusia 54 itu mendaki Everest sebanyak dua kali untuk mengatasi rekod sama yang dipegang rakan seangkatannya, sherpa Pasang Dawa.
Dia pernah memberitahu, niat asalnya adalah mahu bekerja sebagai malim gunung dan tidak pernah merancang mahu mencipta rekod seperti sekarang.
Kami Rita juga pernah menawan puncak kedua mencabar di dunia, setinggi 8,000m iaitu gunung K2 di Pakistan.
Tahun 2024, Nepal mengeluarkan 414 permit Everest kepada pendaki gunung untuk musim pendakian musim bunga yang berlangsung dari April hingga awal Jun ini.
Kebanyakan pendaki Everest diiringi malim Nepal yang bermakna lebih 800 pendaki akan melalui laluan ke puncak tertinggi dunia itu dalam beberapa minggu akan datang selepas sekumpulan pendaki Nepal membuka laluan ke puncak, Jumaat lalu.
Tahun lalu, lebih 600 pendaki berjaya mendaki puncak Everest, namun ia juga musim paling dahsyat apabila merekodkan 18 kematian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram