SAMBUTAN Hari Ibu merupakan masa yang terbaik bagi mengenang jasa dan pengorbanan besar insan bergelar emak.
Apatah lagi, cabaran membesarkan generasi dalam era serba moden ini bukanlah sesuatu hal yang mudah.
Selaku selebriti yang juga merupakan seorang ibu, Sazzy Falak berharap agar para ibu memanjakan diri mereka dengan sepenuhnya sebagai ganjaran diri sendiri pada sambutan Hari Ibu, Ahad ini.
Ini kerana, Sazzy berpendapat bahawa setiap ibu pastinya sudah berpenat lelah dalam membesarkan anak-anak mereka.
Sazzy Falak bersama keluarga tercinta menyambut perayaan Aidilfitri 2024.
"We never rest kerana selalu risau pasal anak-anak seperti fikirkan sekolah mereka, diri mereka dan sebagainya.
"Jadi pastikan anda memanjakan diri pada Hari Ibu, sepatutnya hari-hari adalah Hari Ibu," katanya dengan nada berseloroh.
Ibu kepada tiga orang anak itu turut mengakui agak bertegas dalam mendidik anak-anaknya.
"Kalau dengan ayah mereka, Nazril Idrus mungkin boleh lawan balik tetapi dengan saya tidak," katanya kepada Majoriti.
Sazzy beranggapan bahawa sikapnya yang bertegas dalam mendidik anak-anak tidak salah kerana perkara itu bertujuan untuk memberi kebaikan kepada diri mereka.
"Dengan anak-anak kena tegas kerana ibu saya juga mengajar benda yang sama.
"Sebab perkara itu akan memberi mereka lebih disiplin," katanya.
Sazzy Falak kadang tidak percaya bahawa dia sudah menjadi ibu kepada anak-anak yang sudah menjejaki usia remaja.
Tidak hanya itu, Sazzy Falak juga sangat mementingkan keselamatan anak-anaknya terutama pada masa kini yang tidak terlepas daripada masalah jenayah yang semakin berleluasa.
Umum mengetahui bahawa baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian ngeri mengenai seorang wanita yang ditumbuk dan diseret sebelum dipaksa masuk sebuah kereta dalam cubaan menculik di sebuah rumah di Taman Lagenda Putra, Kulai, Johor pada Ahad lepas.
Bercakap mengenai kejadian itu, Sazzy Falak semakin bimbang terhadap anak-anaknya terutama kini masing-masing sudah semakin dewasa.
"Di mana kita tinggal pun boleh jadi tempat yang berbahaya jadi kena sentiasa bersedia dan peka.
"Anak-anak saya juga sekarang sudah semakin dewasa dan kadang-kadang keluar bersama rakan-rakannya," katanya.
Sazzy juga memiliki impian untuk membawa anaknya mengikuti pembelajaran jiu-jitsu bagi membolehkan memiliki kemahiran pertahanan diri.
"Saya mahu anak-anak belajar jiu-jitsu dan saya juga ingin belajar mengenai seni mempertahankan diri itu," katanya.
Sazzy turut berpesan agar wanita di luar sana tidak leka dengan telefon pintar terutama apabila berada di kawasan luar rumah.
"Banyak masa yang perempuan akan sibuk dengan telefon sehingga lupa kunci pintu.
"Ada cerita sebenar yang seorang lelaki siap bawa parang waktu perempuan mahu ke keretanya, jadi perlu sentiasa sedar dengan perkara-perkara sebegini.
"Dua perkara yang penting diterapkan dalam diri setiap wanita adalah awareness dan juga alertness supaya lebih peka tentang persekitaran setiap masa," katanya.
Pada 2011 lalu, pelakon Gol dan Gincu itu melahirkan dua cahaya mata kembar perempuan iaitu Imaan Lily dan Tiara Rose.
Sazzy bersama pasangannya, Nazril kemudian memilih untuk mengambil anak angkat iaitu Idris, pada Februari 2020.
Jasanya membesarkan anak-anak dengan penat lelah seolah-olah terbalas apabila masing-masing berjaya membawa nama dengan menjadi pelajar yang aktif di sekolah.
Kini, anak-anak Sazzy terlibat dalam sukan seperti hoki, bola baling dan juga ragbi pada peringkat zon Bangsar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram