Pernah terima 'mesej nakal', Atilia tetap bersemangat ajar peminat cilik senaman yoga demi awet muda


  • Hiburan
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Atilia Haron berjaya memikat ramai orang untuk memulakan senaman yoga.

NAMA penyanyi, Atilia Haron tidak lagi asing dalam kalangan peminat muzik di tanah air ini.

Mana tidaknya, anak kepada Salamiah Hassan ini sudah terlibat dalam industri muzik sejak berumur 12 tahun lagi.

Atilia sebelum ini terkenal dengan lagu seperti Cinta Sampai Mati, Bahagiaku, Sandaranku, Kekanda Adinda, Selainnya dan Aku Curiga.

BACA LAGI: Bront Palarae kecewa sikap pemimpin persatuan, liga acuh tak acuh respons isu jenayah terhadap pemain kebangsaan

BACA LAGI: Lengan kiri Zaki Yamani pernah berparut gara-gara terbakar main bunga api

photo_2024-05-10_22-10-03

Atilia Haron menjadi guru yoga di KLCC Park.

Selain berbakat besar dalam nyanyian, Atilia Haron juga terlibat aktif sebagai guru yoga sejak lebih 30 tahun lalu.

Mengulas mengenai perkembangan semasa, Atilia berkata, dia kerap menghabiskan masanya dengan mengajar senaman yoga secara percuma pada setiap Sabtu pukul 7.30 pagi di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) Park.

photo_2024-05-10_22-09-48

Atilia Haron mengajar anak muridnya mengenai senaman yoga.

Tidak hanya itu, dia juga membuka kelas yoga di Yoga Want That I Want Studios yang beroperasi di Petaling Jaya dan Damansara, Selangor.

Selepas menceburi aktiviti yoga dalam tempoh yang lama, Atilia mengakui berjaya memikat ramai golongan wanita tanpa mengira lapisan umur untuk memulakan senaman yoga dengan menjadi anak muridnya.

"Ada yang masih berumur tiga tahun, ada yang lima tahun. Ibu bapa anak-anak kecil ini memang paksa untuk buat yoga sejak kecil supaya mereka boleh fokus sesuatu perkara.

"Umur 60 tahun pun ada yang saya ajar yoga. Kadang-kadang orang ingat muda sebenarnya sudah berusia," katanya kepada Majoriti.

Atilia juga kerap menerima tawaran untuk mengajar secara one to one session kepada kanak-kanak bagi acara tertentu melibatkan yoga di tadika.

Sentiasa mengekalkan kecergasan tubuh, tidak hairanlah apabila wanita berusia 50 tahun itu tampak muda berbanding usia sebenarnya.

Atilia mendedahkan bahawa dia juga sering menerima usikan nakal daripada peminat yang cuba mengoratnya.

"Macam-macam mesej yang merepek pernah diterima. Contohnya ada yang cakap kaki you cantik, sebab sayakan selalu upload gambar berpakaian yoga," katanya.

photo_2024-05-10_22-09-38

Atilia Haron kerap menerima usikan nakal daripada seseorang menerusi media sosial.

Atilia atau nama sebenar Raja Putri Atilia bagaimanapun menjelaskan bahawa dia kebiasaannya tidak membalas mesej nakal yang diterimanya.

"Biasa saya biarkan sahaja sebab saya baca bukan mahu balas pun. Kadang terus delete," katanya.

Atilia turut menasihati individu yang bersikap sedemikian supaya berubah dan tidak menghabiskan waktunya dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

"Sepatutnya mereka lebih banyak beramal dan tidak perlu bazir masa dengan perkara macam itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram