Bergelar guru muzik sekolah di KL, Amylea Azizan bangga anak didik mampu hasil album sendiri


  • Hiburan
  • Sabtu, 04 Mei 2024

Amylea Azizan gembira mampu melahirkan ramai bakat muda dalam koir.

PENYANYI bersuara lunak, Amylea Azizan gembira mampu mengembangkan bakat-bakat muda dengan menjadi guru muzik di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Kini, jumlah keseluruhan anak murid yang pernah diajar sudah melebihi 400 orang sejak memulakan pengajaran di sekolah itu selama lebih 10 tahun.

Lebih terharu, usahanya terasa seperti membuahkan hasil apabila terdapat juga anak didikannya yang berjaya menyerlah dalam bidang muzik sehingga mampu mengeluarkan album sendiri.

"Ada murid saya yang sudah ada album sendiri. Antaranya kumpul Xone, iaitu Ellya Keesha dan Nelysa Kay," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Tidur di dalam masjid harus tetapi bersyarat, elak orang ambil kesempatan — Mufti

photo1714654305

Amylea seronok menjadi guru muzik di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut Amylea, menjadi guru bagi pengajaran koir membolehkannya mempertajamkan kemahiran mereka menjelang persembahan koir yang banyak diadakan di sekolah berkenaan.

"Pertandingan memang banyak dalam setahun, minimum ada tiga pertandingan di sekolah itu, satu persembahan koir anak murid saya biasanya dalam 40 lebih murid," katanya.

Katanya, kumpulan koir di bawah didikannya seringkali meraih kemenangan dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di sekolah tersebut.

"Anak murid saya umur dalam 7 tahun hingga 12 tahun. Mereka bukan pandai menyanyi sahaja tetapi berbakat dalam akademik juga," katanya.

Tidak cuma itu, dia menganggap menjadi tenaga pengajar dalam persembahan koir sebagai kenangan manis yang terpahat di ingatannya.

"Saya enjoy (suka) ajar budak-budak kerana mereka bersikap jujur. Bila berada di samping mereka saya rasa jiwa mereka sangat ikhlas dan terbuka untuk bercerita," katanya.

BACA LAGI: Sampai muntah tepi jalan, anak Sabah harungi cabaran berbaju tradisional sambil berbasikal sejauh 60 km

Selain itu, Amylea yang terkenal sejak Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) memohon maaf kepada peminat lantaran dia agak menyepi dalam bidang industri ketika ini.

"Saya nak memohon maaf jika sebelum ini lakonan atau nyanyian saya pernah menyakiti hati sesiapa kerana kadang kita tidak sedar ada perbuatan kita yang mungkin buat orang tidak suka atau berfikir ke arah negatif," katanya.

Amylea berkata sedemikian susulan sebelum ini banyak menerima kritikan daripada individu yang sama sekali tidak dikenali menerusi media sosial.

"Kata-kata atau hinaan yang pernah diterima biarlah saya simpan sendiri dan berdoa supaya mereka berubah.

"Berkali-kali terima komen negatif daripada orang yang ada kalanya menyentuh soal rupa dan sebagainya. Saya harap orang tidak mensia-siakan pahala yang mereka buat," katanya.

Jelasnya, perkara itu turut mengganggu emosi, fizikal dan mental seseorang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram