PERSATUAN Seniman Negara (Seniman) perlu memainkan peranannya untuk menyenarai hitam artis-artis bermasalah untuk menjadi pengajaran kepada artis lain agar tidak memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat, kata aktivitis, Yuslaini Azmi.
Dia merujuk golongan artis itu termasuk yang terpalit kontroversi hangat ketika ini iaitu Aliff Aziz dan Ruhaines Zainul Ilyas.
Seniman sebelum ini ada menyatakan kesediaan pihaknyanya untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat aduan mengenai tindakan berterusan individu tertentu membuka aib berkaitan hal peribadi Aliff Aziz menerusi media sosial.
"Saya fikir peranan Seniman sekarang adalah menyenarai hitam artis-artis bermasalah supaya menjadi pengajaran kepada artis lain supaya tidak menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat. Jika ini pun gagal difikirkan saya fikir kita ada masalah dalam menentukan apa yang haq (benar) dan batil," katanya.
BACA LAGI: Tidur di dalam masjid harus tetapi bersyarat, elak orang ambil kesempatan — Mufti
Sarah Yasmine sebelum ini mendakwa dia adalah kekasih Aliff sejak Januari lepas.
Yuslaini berkata, dia faham ramai artis tempatan tidak berpuas hati dengan apa yang dikongsikan oleh Sarah Yasmine dan mungkin muak dengan cerita murahan sedemikian.
Namun, katanya, perkara itu boleh dihentikan sekiranya orang dalam industri itu sendiri berhenti mengambil pelakon bermasalah supaya tiada 'Sarah Yasmine' kedua yang melondehkan individu bermasalah dalam dunia seni hiburan.
"Isu Alif Aziz ini bukan pertama kali dalam sejarah industri negara nama dan kemunculan Sarah Yasmine sedikit sebanyak membantu si isteri yang sedang dibuli-buli secara emosi dan psikologi ketika ini," katanya.
Malah Yuslaini berkata, pendedahan yang dilakukan Sarah Yasmine juga tidak menyalahi undang-undang negara melainkan telefon digodam secara tidak sah tanpa kebenaran pemilik telefon sebenar.
Menurutnya, jika artis terlibat ingin membuat laporan polis, mereka juga harus sedar tindakan ini hanya memakan diri kerana terdapat akta dalam undang-undang orang ketiga dalam rumahtangga seseorang yang boleh dikenakan tindakan.
"Dalam hal ini sebenarnya Bella Astillah boleh membuat laporan mengikut Seksyen 36, 37 dan 38, Akta 559 atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
"Manakala artis yang terlibat dalam kontroversi seperti Ruhainies dan Sophia Al Barakbah berkemungkinan besar akan dikenakan tindakan kerana perbualan chat juga dikira bukti dalam Mahkamah Syariah," kata Yuslaini.
BACA LAGI: Bermula sekadar hobi, isteri atlet para kebangsaan kini tak menang tangan mekap wajah pelanggan
Bella Astillah mengalami kemelut rumah tangga sejak suaminya, Aliff Aziz ditangkap basah bersama Ruhainies.
Yuslaini pada masa sama menempelak pengarah filem tempatan, Erma Fatima yang bertindak seolah-olah 'menghalau' Sarah Yasmine pulang ke negaranya dengan alasan menghuru-harakan dunia seni tanah air.
"Saya fikir ia agak keterlaluan kerana terdapat pelbagai artis dari Singapura datang mencari rezeki di sini malah jika difikirkan secara tuntas industri seni hanya akan berkembang jika artis Nusantara menyokong antara satu sama lain," ujarnya.
Sebelum ini, SKMM dilaporkan menerima sejumlah aduan mengenai tindakan berterusan individu tertentu 'membuka aib' berkaitan hal peribadi selebriti kontroversi, Aliff Aziz menerusi media sosial.
Memberi respons terhadap isu itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, pihaknya sentiasa terbuka dalam memberi kerjasama kepada SKMM bagi menyelesaikan isu berkait selebriti tempatan, terutama apabila dilihat semakin kerap dibangkitkan individu terbabit, sejak akhir-akhir ini.
"Seniman bersifat terbuka jika SKMM minta kerjasama. Apabila membabitkan isu keharmonian artis, persatuan perlu beri kerjasama kepada pihak penguat kuasa seperti SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
"Kami sedia bantu dan beri maklumat sokongan kepada SKMM. Seniman ada empat perkara asas dalam perlembagaan persatuan iaitu memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram