Ziana Zain masuk gim, berlari 'bina muscle' demi gegarkan pentas Mega Star Arena pada 25 Mei depan


  • Hiburan
  • Ahad, 21 Apr 2024

Ziana Zain sudah membuat persediaan rapi untuk menuju ke Ziana Zain Concert 2024 pada 25 Mei 2024.

PENYANYI Ziana Zain mengakui dia kini aktif bersenam di pusat gimnasium sebagai salah satu persiapan sebelum menggegarkan pentas Mega Star Arena pada 25 Mei 2024.

Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah itu, inisiatif itu diambil selepas mendapat cadangan daripada pengajar peribadinya yang dikenali sebagai Prabu untuk mengekalkan kesihatan badan dan meningkatkan kecergasan.

"Kita kena nampak bagus untuk diri kita kerana peminat akan selalu memerhati apa sahaja yang kita buat.

"Jadi untuk maintain muscle dan body posture yang bagus, sejak dua bulan lepas saya dah mulai olahraga dan juga main gimnasium," katanya kepada Majoriti.

Dalam Ziana Zain Concert 2024, Ziana Zain atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ji bakal memberi kelainan dari sudut peragaan pakaian dan juga lagu-lagu yang penuh dengan nostalgia.

Untuk rekod, sebanyak 20 buah lagu yang pernah dialbumkan bakal dinyanyikan secara penuh untuk mengubati rindu para peminat.

“Boleh dikatakan kesemua lagu yang bakal dipersembahkan nanti ialah pilihan ‘Zianafolks’ dan saya akan nyanyikan lagu-lagu pilihan secara penuh dan bukan medley.

“Boleh dikatakan koleksi lagu berkenaan menceritakan perjalanan hidup seorang Ziana Zain itu sendiri. Zianafolks bersama saya lebih tiga dekad dan mereka tahu kisah saya. Jadi malam nanti kita akan berhibur bersama-sama,” katanya.

Ziana berkata sedemikian ketika berada di Acara Autograph Session di Centre Court, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada Ahad.

BACA LAGI: 'Awak sangat cantik', CNBLUE buat gadis Malaysia 'cair'

photo1713702493 (1)

Ziana Zain ketika di Acara Autograph Session di Centre Court, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam pada itu, Ziana berasa seperti mimpi apabila berpeluang untuk mengadakan Ziana Zain Concert 2024 di dalam sebuah pasar raya Sungei Wang Plaza Kuala Lumpur yang sering menjadi 'port tumpuannya' untuk membeli belah ketika masih remaja.

"Dulu saya selalu beli baju dekat sini, rasa macam mimpi boleh buat konsert dekat pasaraya ini," katanya kepada Majoriti.

Legenda vokal tanah air itu turut terinspirasi untuk mengadakan konsert apabila melihat penyanyi lain yang berada dalam lingkungan umurnya masih bersemangat untuk mendendangkan lagu kepada peminat mereka.

"Kak Ji tengok Sheila Majid dan Ella sangat bekerja keras, itu yang membuat Kak Ji rasa kalau mereka boleh, saya pun boleh buat," katanya.

BACA LAGI: Queen, Beatles pencetus Alena Nadia minat 'goreng' gitar

photo1713702565

Ziana Zain bertemu peminat yang datang untuk mengambil autograph.

Malah, Ziana sudah mampu menumpukan perhatian kepada kerjayanya 100 peratus seakarang kerana tidak lagi memikul apa-apa tanggungjawab yang berat.

"Kalau dulu Kak Ji ada anak dan tanggungjawab lain yang menyebabkan mahu bertindak apa-apa perlu catu masa dan hari.

"Tetapi sekarang saya sudah sendiri jadi mampu bergerak lebih bebas. Tiada halangan mahu balik pukul berapa, hari apa jadi sudah boleh fokus dalam nyanyian," katanya.

Ziana turut meluahkan rasa syukur kepada ALLAH kerana telah mengurniakannya kerjaya dalam tempoh yang lama iaitu melebihi 33 tahun untuk menghiburkan para peminat.

"Kak Ji boleh dikatakan sudah dapat apa sahaja yang Kak Ji inginkan, jadi sangat bersyukur," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram