MUSIM perayaan Aidilfitri baru-baru ini menyaksikan, tempahan hotel, penerbangan dan destinasi pelancongan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah mengalami lonjakan luar biasa, sekali gus memecah rekod bagi industri pelancongan tempatan, lapor Trip.com.
Platform pelancongan dalam talian terkemuka terkemuka itu dalam kenyataannya mendedahkan data tersebut berdasarkan analisis bagi tempoh 9 hingga 13 April lepas.
Menurut agensi itu, jumlah tempahan di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan sebanyak 113 peratus, manakala Pulau Pinang meningkat ketara kepada 62 peratus dan Kota Kinabalu dengan 89 peratus.
Tempahan hotel domestik meningkat di seluruh destinasi utama termasuk Kuala Lumpur dengan 57 peratus, Pulau Pinang 24 peratus dan Kota Kinabalu sebanyak 62 peratus.
BACA LAGI: Laungan 'Solatlah di rumah kamu' terpakai jika berlaku darurat dan musibah — Mufti
Tempahan hotel, penerbangan dan destinasi pelancongan meningkat semasa hari raya Aidilfitri.
Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, pihaknya teruja menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam tempahan pelancongan ketika sambutan Aidilfitri pada 2024.
“Peningkatan ini bukan sahaja mencerminkan daya tahan perjalanan industri pelancongan, tetapi juga menunjukkan permintaan tinggi untuk pengalaman perjalanan.
“Kami tetap komited menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelanggan dan berharap dapat meneruskan misi kami memberi pelancong pengalaman perjalanan yang tak boleh dilupakan,” katanya pada Khamis.
Stephane turut memaklumkan, peningkatan permintaan pelanggan tersebut jelas menunjukkan pertumbuhan tempahan penerbangan domestik yang kukuh di seluruh destinasi utama di negara ini dengan kenaikan 99 peratus berbanding Aidilfitri tahun lepas.
BACA LAGI: Diuruskan anak angkat sejak sakit, Zaiton Sameon impi tunai haji bersama Che Sikah
Bilangan tempahan hotel, penerbangan dan destinasi pelancongan melonjak.
Tambah beliau, penerbangan antarabangsa dari Singapura ke Malaysia juga menyaksikan pertumbuhan ketara sebanyak 94 peratus.
“Bagaimanapun, lonjakan paling luar biasa diperhatikan dalam tempahan penerbangan dari Indonesia ke Malaysia yang menyaksikan peningkatan 33 kali ganda, menandakan minat pelancong terhadap rantau ini.
“Tempahan hotel antarabangsa ke Malaysia dari Singapura meningkat sebanyak 69 peratus manakala dari Indonesia 316 peratus,” katanya.
Beliau turut berkata, jumlah dagangan kasar (GMV) untuk semua tempahan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila Kuala Lumpur meningkat sebanyak 117 peratus, Pulau Pinang 78 peratus manakala Kota Kinabalu 162 peratus.
“Ini mencerminkan ekonomi pelancongan Malaysia, secara keseluruhan menyaksikan lonjakan 97 peratus yang luar biasa dalam GMV dan menggariskan kejayaan kolektif industri pelancongan,” kata Stephane lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram