Diuruskan anak angkat sejak sakit, Zaiton Sameon impi tunai haji bersama Chesekah


  • Hiburan
  • Khamis, 18 Apr 2024

Zaiton meluahkan hasrat terpendam untuk menunaikan haji bersama anak angkatnya, Chesekah Ismail.

SELEPAS seolah-olah hilang segala-galanya dalam kehidupan, penyanyi veteran, Zaiton Sameon bersyukur memiliki seorang anak angkat yang mampu mengurusnya sejak mengalami kemalangan dan disahkan hilang ingatan pada 1990.

Penyanyi popular era 80-an itu kini tinggal di kediaman yang disewa anak angkatnya, Chesekah Ismail atau Ika, 48, di Apartmen Sri Baiduri, Taman Bukit Indah, Selangor.

"Segala-galanya dia bantu dan urus. Saya doakan dia dan cucu angkat saya murah rezeki dan panjang umur," katanya kepada Majoriti.

Zaiton juga meluahkan hasrat terpendamnya untuk menunaikan haji bersama Chesekah.

"Impian saya yang tak tertunai adalah untuk menjejakkan kaki ke tanah suci untuk buat haji bersama anak angkat saya," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid menangis Syifa Melvin buat kejutan hamil anak kedua

WhatsApp Image 2024-04-17 at 12.52.53 PM

Program Ziarah Seni Madani ke kediaman Zaiton di Apartmen Sri Baiduri, Taman Bukit Indah, Ampang.

Pada 14 November 2022, Zaiton menerima Kad Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.

Ia susulan kemalangan ngeri yang menimpanya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, arwah Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Zaiton dilaporkan parah di kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 itu berkata, dia hanya mulai mengingati peristiwa itu kembali selepas menunaikan umrah buat kali pertama pada 1995.

Menceritakan detik tersebut, Zaiton berkata, dia melihat susuk anak kandungnya memakai kain ihram lelaki duduk di sampingnya ketika menjamah makanan di sebuah kedai makan di Mekah.

"Saya tanya Azirwan nak tambah lauk tak, dia jawab kenyang ma (ibu)," katanya.

BACA LAGI: Gemar rendang tok, Tony Eusoff redah 8 jam perjalanan mahu beraya di kampung rakan di Muar

WhatsApp Image 2024-04-17 at 1.03.19 PM

Zaiton mendapat sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan ketika Program Ziarah Seni Madani.

Selepas itu, Zaiton disapa saudaranya yang menunaikan umrah bersama dan menegur sambil memberitahu bahawa anak tunggalnya itu telah pun meninggal dunia.

"Waktu itu, berderai air mata saya dan kembali boleh mengingati semula kejadian-kejadian sebelum ini," ceritanya sebak.

Zaiton berkongsi perkara itu ketika program Ziarah Seni Madani, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2024 bersama Fahmi di kediaman yang disewa anak angkatnya itu baru-baru ini.

Malah, Zaiton juga meluahkan rasa terharu apabila kepayahan hidup dan masalah kesihatan dialami mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, dia bersyukur apabila Fahmi bersama FINAS sanggup meluangkan masa menziarahinya di rumah.

"Paling saya tak sangka apabila menteri sendiri datang ke rumah menyantuni dan menghulurkan bantuan. Saya sangat berterima kasih kerana masih ada yang prihatin dengan artis bernasib malang seperti saya.

"Tapi, apabila tiba-tiba menteri datang hendak berjumpa, ia satu penghormatan kepada saya," katanya.

Turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Muttalib bagi menyantuni Zaiton termasuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan.

Sementara itu, mengulas usaha untuk mendapatkan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur, Zaiton memberitahu, prosesnya berjalan lancar.

"Setakat ini, bantuan dapatkan bantuan perumahan masih dalam proses. Permohonan sudah lama dibuat, cuma saya perlu hantar beberapa dokumen tambahan, baru-baru ini.

"Jadi, kemungkinan saya akan dapat menginap di PPR Sri Aman Jinjang, tidak lama lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram