'Terpaksa potong semula kain sampai dua kali', Siti Syazwani bangga mampu cipta baju kebaya songket versi miniatur


  • Hobi
  • Ahad, 24 Mac 2024

Siti Syazwani merupakan salah seorang pelajar KKSY yang berjaya menghasilkan baju kebaya songket versi miniatur bersempena Kempen Raya 2024 di Pavilion.

PELUANG menonjolkan hasil rekaan di Pavilion, Kuala Lumpur merupakan detik bermakna dalam hidup Siti Syazwani Mohd Yusof.

Pastinya, setiap pelajar rekaan fesyen mengidamkan hal itu kerana secara tidak langsung mampu memberi publisiti percuma dalam menonjolkan hasil kerja yang dilakukan dengan segala penat lelah.

Untuk rekod, seramai 27 orang pelajar, alumni dan pensyarah program Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Selayang (KKSY) berjaya menghasilkan 20 rekaan pakaian Miniatur Raya 2024 dengan bertemakan Baju Tradisional dan Fusion Tradisional sempena Kempen Raya 2024 di Pavilion.

BACA LAGI: Nur Izzah tak kisah tangan terluka, anggap pisau mahu jadi kawan di dapur

WhatsApp Image 2024-03-23 at 11.59.23 AM

27 orang pelajar, alumni dan pensyarah program Fesyen dan Pakaian KKSY hasilkan 20 rekaan pakaian Miniatur Raya 2024.

Pelajar jurusan Fesyen dan Pakaian KKSY, Syazwani meluahkan rasa gembiranya dipilih menjadi salah seorang daripada 17 orang pelajar yang menghasilkan rekaan pakaian versi miniatur.

"Kalau orang lalu lalang di Pavilion dan melihat baju versi miniatur, mesti mereka akan terkejut kalau tahu yang hasilkan adalah seorang pelajar," katanya kepada Majoriti.

Memilih untuk menampilkan baju kebaya songket versi miniatur, gadis jelita itu berkata, ini merupakan kali pertama dia menghasilkan baju dengan ukuran yang sangat kecil.

"Biasa saya buat baju dengan ukuran patung saiz M ataupun ukuran badan sendiri, tetapi kali ini memang ukurannya kena teliti sebab untuk patung kecil," katanya.

Syazwani turut mendedahkan mengenai cabaran yang dilalui untuk menghasilkan pakaian versi miniatur itu.

"Saya buat potongan kain untuk versi miniatur ini sampai dua kali. Sebabnya jenis material kain yang saya guna iaitu songket tak boleh dijahit lambat nanti dia berbulu.

"Baju pertama yang saya hasilkan dah berbulu teruk, jadi tak lawa. Terpaksa buat semula guna kain lain," katanya.

Malah, ukuran yang diambil daripada patung miniatur ini sebelum memulakan jahitan berbeza daripada ukuran sebenar untuk membolehkan baju kelihatan sempurna apabila dipakaikan oleh patung miniatur.

"Sudah buat pola baju, jahit apa semua bila cuba dipakai patung miniatur tak ngam.

"Terpaksa ubah suai semula jahitan pada bahagian lengan dan dada untuk nampak cantik dipakai patung miniatur," katanya.

WhatsApp Image 2024-03-23 at 11.59.22 AM

Siti Syazwani bersama baju kebaya songket versi miniatur yang dihasilkannya.

Meskipun begitu, dia tetap mampu menghasilkan baju berkenaan mengikut tempoh masa sebulan seperti yang ditetapkan oleh pensyarah untuk semua pelajar.

"Walaupun terpaksa buat semula potongan kain, tetapi nasib baik dapat siap dalam masa sebulan," katanya.

Bagi Syazwani, seseorang yang ingin berjaya tidak boleh bersikap mudah berputus asa meskipun setelah mengalami pelbagai rintangan dalam sesuatu pekerjaan yang dibuat.

"Macam baru-baru ni, saya hasilkan baju Melayu tiba-tiba gosok baju terbakar terpaksa buat semua walaupun baru nak tunjuk kepada pensyarah, jangan mudah mengalah," katanya.

Mendedahkan memiliki minat yang mendalam terhadap rekaan fesyen, Syazwani memiliki asas jahitan sejak di bangku sekolah.

"Memang minat dari kecil cumanya di rumah saya tiada mesin jahitan. Kali pertama saya jahit blaus waktu berumur 16 tahun.

"Saya pun ambil kos sains rumah tangga yang di dalam kos tu memang ajar asas jahitan," katanya.

Kini, dia sudah mampu menghasilkan lebih daripada 10 pakaian meliputi pelbagai jenis baju sejak melanjutkan pembelajaran jahitan di KKSY.

WhatsApp Image 2024-03-23 at 2.26.42 PM

Baju kurung pesak buluh yang dihasilkan Syazwani dalam masa dua minggu.

Antara baju yang pernah dihasilkan ialah baju melayu, baju kurung pesak buluh, baju kebaya tradisional, blaus garis puteri, baju kurung Riau Pahang, baju kebaya Kota Bharu dan baju kurung moden.

Tidak hanya itu, Syazwani juga memiliki kebolehan untuk menghasilkan pelbagai jenis jahitan kain seperti kain ombak mengalun, kain lipat batik, skirt box selisih, kain wiron dan kain kembang payung.

Mengulas mengenai harapan dalam bidang fesyen, gadis berusia 20 tahun itu bercita-cita untuk menghasilkan busana berkonsepkan tradisional untuk orang kenamaan dan juga artis.

"Sebab saya suka jahit pakaian berkonsep tradisional, kalau ada peluang memang teringin sangat. Mesti saya akan rasa bangga dengan kebolehan saya kalau dapat peluang itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram