[VIDEO] Hun Haqeem teringin jadi hantu, bawa watak mualaf


  • Hiburan
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Hun Haqeem teringin membawa watak sebagai mualaf dalam sesebuah drama.

PELAKON yang semakin meningkat naik, Hun Haqeem meluahkan hasrat terpendamnya untuk membawakan watak sebagai mualaf dalam sesebuah filem atau drama.

Menurut Hun Haqeem, dia memiliki ramai rakan mualaf dan sering mendekati kelompok berkenaan ketika berada di surau yang berhampiran kediamannya.

"Kalau saya pergi surau di Cheras memang ada geng mualaf di situ, ada pelbagai bangsa yang menjadi saudara baru kita," katanya.

Pelakon drama Cari Aku di Syurga itu mengakui bahawa bergaul dengan ramai rakan yang terdiri daripada golongan mualaf menyebabkan dia bersyukur dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam.

"Setiap kali saya pergi surau, mereka selalu habiskan perbualan pasal agama Islam dan betul-betul menghargai sesuatu benda yang terkandung dalam ajaran Islam.

"Jadi, sangat menarik apabila kita tengok orang yang dilahirkan dengan agama berbeza betul-betul mengagumi Islam dengan sepenuh hati," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Ketahui cara, urus pembahagian harta pusaka ikut hukum faraid untuk elak drama seperti 'Lelaki Itu'

photo_2024-04-19_13-03-02

Majlis rumah terbuka bersama Hun Haqeem di Kajang, Selangor.

Malah, Hun Haqeem berpendapat bahawa para mualaf kebiasaannya akan mencuba sebaik mungkin untuk mempelajari sesuatu ilmu agama dengan mendalam berbanding individu yang dilahirkan sebagai seorang beragama Islam.

"Bila kawan saya yang mualaf sebut pasal hidayah jadi terfikir apa itu hidayah. Buat kita rasa macam aku Islam tetapi tidak macam ini.

"Sebab kita yang sudah dilahirkan dalam Islam kurang menghargai agama yang kita sedia anuti," katanya.

Sementara itu, Hun Haqeem memberitahu, dia juga mahu mencuba lebih banyak watak baharu yang belum pernah dibawakan sebelum ini.

"Watak dalam cerita hantu pun saya teringin juga nak bawakan. Saya teringin nak ada peluang untuk jayakan watak-watak berbeza," katanya.

BACA LAGI: Ambil tahu kedudukan anak hasil perkahwinan syubhah

photo_2024-04-19_13-00-06

Majlis rumah terbuka bersama Hun Haqeem di Kajang, Selangor.

Dalam pada itu, Hun Haqeem juga berkongsi kegembiraan yang dilalui pada kemeriahan Syawal tahun ini.

Menurutnya, perayaan di kampungnya yang terletak di Kuching, Sarawak sangat berbeza berbanding perayaan di negeri lain.

Ini kerana, Hun Haqeem berkata, kebiasaannya orang Melayu Sarawak akan memakai baju tradisi perayaan selama tujuh hari berturut-turut apabila menyambut lebaran.

"Raya di Kuching vibe lain, kita tengok orang berbaju Melayu tujuh hari berturut-turut.

"Orang akan berbaju Melayu dengan lengkap bersampan, pergi mall atau mana-mana memang tak terus tanggal pakaian raya," katanya.

Tidak cuma itu, keliling kampungnya akan dipenuhi dengan lampu yang banyak untuk menyinari lagi suasana Syawal.

"Macam-macam stail, ada lampu 'lip lap' untuk dekorasi raya.

"Lampu-lampu itu dipasang umpama tradisi di kampung saya setiap kali raya," katanya.

Untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, Hun Haqeem menganjurkan jamuan raya buat kelab peminatnya, Huniversefc yang dihadiri lebih 200 orang di Sungai Long, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Jejaka kacak idaman ramai itu turut berterima kasih dan bersyukur kerana peminatnya setia menyokong kerjayanya dalam bidang seni hingga ke hari ini.

"Peminat-peminat ini sangat comel, tak sangka akan ramai macam ini. Dulu kecil-kecilan sahaja. Rasa sangat-sangat gembira," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram