Sibuk urus 2 kerja tak halang Zarina cipta nama jadi pendaki wanita tunggal tawan gunung lebih 6,000 meter


Zarina semasa mendaki gunung Gorakshep di Nepal.

SIBUK mengurus dua pekerjaan tidak menghalang Zarina Abd Rahman mencipta nama sebagai pendaki wanita tunggal dalam ekspedisi ke puncak Gunung Island Peak, Nepal setinggi 6,160 meter.

Zarina Abd Rahman, 50, merupakan seorang wanita yang bekerja secara tetap di Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), selain memiliki perniagaan snek tersendiri.

Meskipun memiliki jadual yang padat, Zarina bijak membahagikan masa kerja dengan aktiviti riadah dengan aktiviti mendaki gunung di dalam dan luar negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Suhu sejuk ekstrem jadi cabaran 13 pendaki tawan gunung bersalji, Island Peak

photo_2024-03-04_21-15-31

Zarina semasa mendaki Base Camp Gunung Everest.

Antara gunung berketinggian lebih 4,000 meter yang berjaya ditawan Zarina adalah Koulsar Peak di Kashmir, India dan Mingli Sar di Pakistan selain Annapurna Circuit, Base Camp Gunung Everest (EBC) serta Manaslu Base Camp di Nepal.

Selain itu, Zarina juga pernah menjejakkan kaki di puncak gunung Fansipan di Sa Pa, Vietnam, Rinjani di Lombok, Indonesia dan puncak tertinggi Luzon iaitu Gunung Pulag di Filipina selain Gunung Kinabalu.

Lebih menakjubkan, Zarina dan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir merupakan dua orang rakyat Malaysia yang pertama kali mampu menawan gunung Mingli Sar.

Menceritakan pengalamannya mendaki gunung di lembah Shimshal di Gilgit-Baltistan itu, Zarina berkata, perjalanan mendaki gunung itu adalah selama 14 hari.

"Saya ambil masa kira-kira 10 hari untuk sampai summit, perjalanan balik (turun) pula hanya empat hari," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak di Nepal

photo_2024-03-04_21-18-01

Zarina merupakan pendaki wanita tunggal dalam ekspedisi ke Island Peak dari 25 Februari sehingga 13 Mac 2024.

Mampu menjadi inspirasi golongan wanita, Zarina mendedahkan dia bertekad meneruskan perjalanan mendaki gunung Mingli Sar sehingga tamat meskipun pada ketika itu mengalami detik cemas yang berlaku di luar jangkaan.

"Keadaan trek Mingli Sar dipenuhi batu-bata yang menyebabkan tekanan pada kaki. Memang mencabar sampailah kaki saya melecet teruk, bengkak yang ada gelembung air tapi tetap saya gagah teruskan perjalanan sampai tamat.

"Gunung ini berbeza dengan gunung lain kerana sepanjang pendakian, tiada pokok yang saya nampak. Dengan mendaki hanya dua orang pula waktu itu menyebabkan apabila masing-masing penat, tiada geng boleh beri support," katanya.

Memiliki sasaran tersendiri, Zarina ingin melengkapkan misinya untuk mendaki 14 base camp gunung tertinggi di dunia.

"Setakat ini saya target nak complete 14 Base Camp dan setakat ini saya dah lengkapkan empat base camp," katanya.

"Antaranya ialah Annapurna Circuit, Nanga Parbat (gunung kesembilan tertinggi di dunia yang terletak di Pakistan) dan yang keempat adalah Island Peak atau Imja Tse di Nepal," katanya.

Menurut Zarina, bukan semua orang mampu untuk mendaki gunung yang memiliki ketinggian luar biasa memandangkan aktiviti pendakian tidak hanya memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan mental.

"Bukan 100 peratus perlukan kekuatan fizikal, sebab perjalanan pendakian jauh, dalam lapan hingga 10 jam ditambah lagi kekurangan oksigen level yang akan membuatkan seseorang berisiko stres.

"Kadang kaki awak kuat tapi mental awak dah tak mahu teruskan lagi sebab penat.

"Ada sesetengah orang yang mampu capai ke puncak tapi balik dah tak mahu jalan kaki dan memilih untuk naik helikopter, setakat ini saya tak pernah lagi macam itu," katanya.

Penggemar aktiviti lasak itu turut berpendapat wanita memiliki kekuatan dari segi mental melebihi golongan lelaki.

"Sebenarnya dari segi mental wanita lagi kuat, kalau fizikal memang lelaki.

"Sebab harian kita pun dengan pekerjaan, keluarga, jaga anak-anak yang membuatkan mental kita lagi kuat," katanya.

Zarina turut memberi sedikit tip untuk pemula yang memiliki keinginan untuk menjadi peneroka alam.

"Sebelum mendaki, perlu banyakkan buat kerja rumah, perlu tahu keperluan sebelum mendaki. Dari segi pemakaian, makanan dan latihan yang betul juga perlu ambil kira," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram