Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda


  • Sihat
  • Khamis, 08 Feb 2024

Rakyat Malaysia perlulah mengambil berat mengenai lima jenis penyakit yang boleh membunuh secara senyap. — Gambar Hiasan

PENYAKIT membunuh secara senyap pada awalnya tidak menunjukkan sebarang gejala namun boleh meragut nyawa seseorang dalam masa yang singkat.

Individu yang menghidapi penyakit ini juga tanpa sedar sudah berada ditahap yang kritikal sehingga tidak mampu lagi untuk mengambil kaedah perawatan dengan sebaiknya.

Terdapat lima jenis penyakit silent killer yang ramai tidak menyangka boleh berdepan dengan keadaan itu.

BACA LAGI: GTR Burger ada sebab pilih Selangor, bukan JDT

WhatsApp Image 2024-02-07 at 10.27.12 PM

Tekanan darah tinggi adalah antara penyakit kronik yang paling banyak dihidapi oleh masyarakat negara kita. — Gambar Hiasan

1. Darah tinggi

Hipertensi atau tekanan darah tinggi dikenali sebagai pembunuh senyap kerana kebiasaannya pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala.

Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini pernah memaklumkan supaya rakyat Malaysia berwaspada dengan penyakit itu.

Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai hipertensi kecuali selepas membuat pemeriksaan tekanan darah.

Jika tidak dikawal atau diurus dengan baik, ia boleh meningkatkan lagi risiko penyakit sehingga terkena serangan jantung dan strok.

2. Kolesterol tinggi

Penyakit kolesterol tinggi juga dianggap sebagai pembunuh senyap kerana pesakit biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom.

Secara amnya, terdapat dua jenis kolesterol iaitu kolesterol Low-density lipoprotein (LDL) yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat dan juga kolestrol High-density lipoprotein (HDL) yang dikenali sebagai kolesterol baik.

Kolesterol tinggi terjadi apabila terlalu banyak kolesterol jahat yang berada dalam aliran darah sehingga terjadinya pembentukan lemak yang menghalang aliran darah ke pelbagai bahagian tubuh badan.

BACA LAGI: GTR Burger tidak bimbang stigma Zamburger

WhatsApp Image 2024-02-07 at 10.19.10 PM

Pesakit membuat pemeriksaan untuk mengesan paras gula dalam darah. — Gambar Hiasan

3. Kencing manis

Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah penghidap penyakit diabetes tertinggi di Asia dan antara negara yang memiliki jumlah pesakit diabetes tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Kencing manis atau nama saintifiknya diabetes adalah satu masalah kesihatan kronik yang merosakkan keupayaan tubuh untuk memproses glukosa dalam darah atau juga dikenali sebagai gula dalam darah.

Ia berlaku apabila tubuh kita tidak menghasilkan insulin yang cukup atau tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan.

Keadaan ini sekali gus boleh meningkatkan risiko mendapat komplikasi berbahaya dan merosakkan pelbagai organ seperti sistem saraf, mata, dan buah pinggang.

WhatsApp Image 2024-02-07 at 10.15.11 PM

Pesakit kanser perlu menjalani beberapa rawatan di hospital. — Gambar Hiasan

4. Kanser

Kanser merupakan penyakit yang mengancam nyawa tanpa mengira usia dan jantina.

Lebih membimbangkan, penyakit kanser boleh terjadi kepada seseorang tanpa tanda tanda awal.

Terdapat beberapa jenis kanser yang paling banyak menyerang rakyat Malaysia seperti kanser payudara, kanser usus besar, kanser paru-paru, kanser darah (limfoma) dan kanser pangkal hidung (nasofarinks).

Perkara yang boleh dibuat untuk seseorang yang mengalami penyakit ini adalah dengan menjalani ujian saringan kanser.

Ini kerana, ujian saringan kanser boleh mengesan kanser di peringkat awal gejala sebelum sel atau tisu berubah menjadi kanser.

Kebanyakkan kanser dirawat secara pembedahan, radioterapi (terapi sinar-X) atau kemoterapi.

WhatsApp Image 2024-02-07 at 10.23.00 PM

Penyakit hati berlemak merupakan salah satu penyakit pembunuh secara senyap. — Gambar Hiasan

5. Penyakit hati berlemak

Penyakit hati berlemak atau fatty liver bermaksud pengumpulan sel lemak di hati.

Kebiasaannya, penyakit ini menyerang seseorang yang memiliki tabiat pengambilan alkohol yang berlebihan sehingga merosakkan sel hati.

Walau bagaimanapun, ia tidak menolak kemungkinan bahawa penyakit hati berlemak juga berlaku kepada mereka yang tidak mengambil alkohol.

Menurut laporan agensi, punca hati berlemak tanpa alkohol adalah disebabkan faktor genetik, obesiti, tahap kolesterol tinggi dan faktor peningkatan umur.

Jika seseorang tidak mendapat rawatan dengan sebaiknya, penyakit ini boleh mengundang masalah lain seperti kanser hati dan kegagalan fungsi hati. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram