Pernah disewa sampai ke Thailand, motorhome Fathuddin jadi pilihan artis tempatan dan pelancong luar


Sewaan kenderaan RV yang dijalankan Fathuddin Sarfaraz Ramli seringkali disewa bagi tujuan percutian bersama keluarga.

SERINGKALI kita mendengar mengenai perniagaan seperti makanan, baju dan barangan rumah yang kerap dijalankan di Malaysia.

Tidak dinafikan, perniagaan sebegini sememangnya mampu mendapat sambutan ramai tetapi juga memiliki persaingan yang sengit berikutan ramai individu lain menjalankan perniagaan yang sama.

Memilih untuk tampil berbeza daripada orang lain, seorang pemuda, Fathuddin Sarfaraz Ramli giat menjalankan perniagaan kenderaan rekreasi (RV) atau turut dikenali sebagai motorhome.

Menjadi inspirasi ramai, pemuda ini mendedahkan dia merupakan pemilik termuda yang mampu membuka perniagaan RV ini.

"Saya orang termuda yang buka perniagaan ini kerana kebiasaannya orang lepas pencen atau sudah berumur 50 ke atas baru nak buka perniagaan RV ini.

"Sebabkan perniagaan ini perlukan modal yang tinggi berikutan jenis RV itu sendiri yang agak mahal," katanya.

BACA LAGI: Faizal Yusop ubah suai motosikal klasik seindah seni

photo1710158183

Fathuddin mendapat banyak pelanggan yang menyewa RV miliknya untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Rv miliknya dilengkap pelbagai kemudahan bagi memenuhi citarasa pengguna seperti memiliki set karaoke, televisyen dan tandas, mesin basuh, tempat memasak, pengering baju dan meja makan.

Mendapat sambutan hangat, lelaki berusia 25 tahun ini bukan sahaja memperoleh penyewa daripada pelbagai negeri tetapi juga mendapat permintaan daripada pelancong asing.

"Alhamdulillah sewaan memang banyak, kalau cuti sekolah hari-hari ada. Biasanya kita galakkan orang untuk sewa tiga hari dua malam," katanya.

BACA LAGI: Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda

WhatsApp Image 2024-03-11 at 8.09.51 PM

Hael Husaini menyewa RV yang dimiliki Fathuddin bagi menjalankan penggambaran muzik video.

Malah, perniagaannya mampu mencipta nama apabila terpilih untuk disewa oleh beberapa artis dan penyanyi seperti Hael Husaini, Neelofa, Floor 88, Zizan Razak, Syukri Yahya dan Asyraf Muslim.

Lebih menakjubkan, Fathuddin mendedahkan sewaan yang dibuat sudah sampai ke negara lain seperti Thailand.

"Penyewa guna RV saya ini kalau ke luar negara biasanya pergi ke Thailand dan ada juga pelanggan yang nak sewa bulan depan untuk pergi ke Pakistan," katanya.

Menceburi perniagaan RV tidak semudah yang disangka, Fathuddin mendedahkan kesukarannya untuk memulakan perniagaan itu.

"Permulaan agak susah kerana harga sebuah motorhome ini sama macam beli rumah dan juga kelemahannya kita tak boleh beli loan, iaitu perlu bayar cash," katanya.

Ini menyebabkan dia menitikberatkan segala aspek yang perlu untuk mengukuhkan langkahnya menuju perniagaan itu bagi membolehkan perniagaan itu kukuh dilaksanakan.

"Modal untuk buka perniagaan ini memang saya guna duit sendiri kerana sebelum ini saya ada buat perniagaan baju.

"Jadi saya kumpul duit saya bila simpanan dah cukup, fikir masak-masak barulah saya mulakan perniagaan ini," katanya.

Pintar memikirkan strategi, pengewa bagi RV miliknya perlu membayar deposit terlebih dahulu untuk mengelak risiko tidak diingini berlaku.

"RV ini memang reka bentuk dia tinggi jadi pernah ada kes pelanggan bawa RV sampai terlanggar palang tol, jadi kalau kes-kes macam ini biasanya kita akan tolak melalui deposit yang pelanggan dah bayar untuk baiki RV," katanya.

Selepas mampu mencipta nama dalam bidang perniagaan, Fathuddin turut memberi kata-kata semangat buat anak muda di luar sana yang mengimpikan kejayaan dalam keusahawanan.

"Sentiasalah ada progres untuk melangkah ke hadapan setiap hari walaupun kita sedang patah hati, sedih atau ada masalah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram