[VIDEO] Kritikan berbeza Ogy Ahmad Daud dan Datuk Hattan, Amir Jahari contoh terbaik 'fight your own battle' sebelum juara AJL38


  • Hiburan
  • Rabu, 06 Mac 2024

Amir Jahari (tengah) pernah dikritik oleh Datuk Fauziah Ahmad Daud (kiri) dan Datuk Hattan (kanan) sebelum muncul sebagai juara dalam AJL38.

BERGELAR juara bukanlah sesuatu yang mudah, pasti banyak liku perjalanan yang perlu ditempuhi untuk menjadi insan yang hebat.

Situasi itulah yang dirasai oleh penyanyi, Amir Jahari sebelum muncul sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Ahad.

Setelah meraih kemenangan, baru-baru ini tular kembali peristiwa Amir Jahari pernah mendapat kritikan hebat semasa menjadi peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) pada 2011.

Untuk rekod, Amir Jahari hanya bertahan selama tiga minggu dalam AF9 selepas digugurkan bersama seorang lagi pelajar iaitu Ayda Jebat pada konsert ketiga.

Dalam rakaman yang dimuat naik, Datuk Fauziah Ahmad Daud sebagai juri mengeluarkan kata-kata kritikan kepada Amir Jahari sebelum menggugurkan namanya sebagai peserta Akademi Fantasia.

"Daripada konsert pertama saya tak tahu apa yang awak buat.

"Awak tiada apa-apa yang boleh diberikan kepada kami, lemah! Lemah! Lemah! Jadi Amir awak salah seorang calon yang akan digugurkan, saya minta maaf," katanya.

Salah seorang juri lain, Datuk Norman Abdul Halim pula berasakan lagu yang didendangkan kurang mencabar dan tidak faham mengenai pemilihan lagu yang dibuat semasa konsert AF.

"Saya cuba cari jalan nak puji awak tetapi tiada apa yang saya boleh berikan kepada awak," katanya.

BACA LAGI: Miliki hak eksklusif Taylor Swift, PM Singapura tidak berniat cetus permusuhan serantau

Memiliki pendapat sebaliknya, Datuk Hattan sebagai juri pula memberi kata-kata perangsang buat Amir untuk mengembangkan bakatnya di tempat lain.

“Pendapat ikhlas dari saya ialah saya rasa awak tak ada ‘jiwa’ untuk berada di sini.

“Meskipun pertandingan ini bukan tempat bagi awak tetapi kita ada cara lain untuk kembangkan bakat dan karier kita, sebab rezeki itu ada di mana-mana.

“Saya suka sangat dengan nada suara awak, memang sedap. Kalau awak kekalkan cara ‘busking’ awak ini hingga ke luar negara saya jamin awak akan kekal lebih lama daripada peserta lain dalam pertandingan ini,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Keluang Man mula 'beraksi' April ini, peminat berpeluang jadi superhero di KidZania

WhatsApp Image 2024-03-06 at 12.38.09 PM

Amir Jahari muncul sebagai juara dalam AJL38.

Melihat kepada perkara itu, seorang pengguna Facebook, Nor Azliza menganggap kata-kata Datuk Hattan terhadap Amir ketika itu menjadi kenyataan apabila dia mampu bersinar dalam AJL38.

"Akhirnya kata-kata Datuk Hattan menjadi kenyataan, nasihat yang matang," tulisnya.

Seorang pengguna media sosial dengan nama Wali Oryza berasa hormat kepada Datuk Hattan kerana memberi kritikan yang membina.

"Respect dekat Hattan sebab tak lemahkan semangat orang," tulisnya.

Seorang lagi pengguna dengan nama Ahmad Sisi turut bersetuju bahawa juri perlu bersikap profesional untuk membolehkan peserta yang tersingkir mampu bangkit menjadi lebih kuat.

"Begitulah kalau dilihat para juri harus bagi kritikan yang membina dan profesional supaya yang tersingkir bersemangat untuk memperbaiki kelemahan dan kegagalan, Datuk Hattan u're the best. Amir teruskan kejayaan anda," tulisnya.

Seorang pengguna dengan nama AdikAyaz pula berasakan usaha kerasnya selama ini berbaloi selepas berjaya dinobatkan sebagai juara dalam AJL38.

"Ya apa saja kejayaan atau mendapatkan sesuatu yang berharga mesti sakit dan keras jalannya," katanya.

Mampu menjadi iktibar buat orang di luar sana, seorang pengguna dengan nama Farah Dilla Md Rapee pula menyifatkan kisah hidup Amir Jahari menjadi inspirasi buat masyarakat di luar sana supaya lebih cekal menghadapi rintangan hidup.

"Pengajaran yang boleh kita dapat, jalan terus walau apa pun bentuk jalannya, percaya diri walau tiada siapa yang percaya, terus berjuang sebab dunia tempat orang tidak berputus asa. Orang putih kata fight your own battle. Tahniah Amir," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram