Faizal Yusop ubah suai motosikal klasik seindah seni


  • Hobi
  • Ahad, 11 Feb 2024

Faizal Yusop (kiri) dan isteri tecinta, Farah Hedda (kanan) memiliki kepakaran dalam pengubahsuaian motosikal kustom.

SEORANG pegawai kerajaan melibatkan diri dalam kerja pengubahsuaian motosikal klasik selama hampir 30 tahun bagi membolehkan masa lapangnya terisi dengan akiviti berfaedah.

Menurut peminat motosikal klasik, Faizal Yusop, 42, kepuasan diperolehnya dengan cara mengubah suai motosikal custom yang amat bernilai buatnya meskipun terpaksa mengeluarkan bajet ratusan ribu ringgit.

Lelaki berkenaan membuat rekaan motosikal klasik dengan mementingkan keseimbangan antara prestasi motosikal dan fungsi.

"Dia macam kita hasilkan sebuah lukisan, kita bukan nak bagi benda itu cun sahaja tapi tak boleh pergi jauh. Kita mesti jadikan benda itu mempunyai kebolehan yang luar biasa dan boleh bersinar ke tahap lebih tinggi," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda

WhatsApp Image 2024-02-09 at 3.16.34 PM (1)

Motosikal custom milik Faizal Yusop jenama Norton hybrid engine Harley Davidson

Faizal yang sudah melakukan kerja pengubahsuaian motosikal sejak berusia 18 tahun berjaya mengubah suai sebanyak tujuh biji motosikal custom miliknya yang meliputi pelbagai model dan jenis seperti Norton, BSA dan Harley Davidson.

"Saya buat ini sebagai suka-suka kerana sudah menjadi normaliti untuk saya, kalau tak buat saya rasa macam ada sesuatu yang tak lengkap dalam hidup.

"Sudut pandangan saya sangat berbeza daripada orang lain kerana ada orang hanya minat sesuatu disebabkan benda itu tengah trending, tapi saya memang daripada muda buat kerja ini," katanya.

Menurut Faizal, minatnya dalam rekaan motosikal klasik berputik sewaktu dia membantu bapa saudaranya membaiki motosikal model Harley Davidson milik arwah datuknya ketika masih menyambung pelajaran di peringkat universiti.

Bakatnya dalam mengubahsuai rekaan motosikal klasik menarik perhatian luar negara sehingga motosikal buatannya pernah terpilih untuk menjadi topik artikel sebuah majalah atas talian terbitan Amerika Syarikat, Bike Exif.

Berdasarkan penulisan itu, mereka boleh dikatakan cukup berminat dengan kreativiti serta skil dimiliki Faizal yang mampu melakukan perubahan terhadap model motosikal lama dan klasik di samping meningkatkan keupayaan enjin.

Fokus utama dalam artikel itu adalah apabila Faizal menjadi individu pertama dalam negara yang berjaya mencipta hybrid antara Norton dan Harley Davidson dengan projek itu mengambil masa lima tahun.

Faizal berkata, projek motosikal itu berjaya disiapkan pada 2006 dengan anggaran kos perbelanjaan kira-kira RM100,000.

BACA LAGI: Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal

WhatsApp Image 2024-02-09 at 3.16.07 PM (1)

Faizal Yusop dan isteri tercinta, Farah Hedda memiliki kemahiran berkaitan pengubahsuaian motosikal.

Memiliki sokongan terkuat di sisinya, Faizal mendedahkan isterinya, Farah Hedda Liwin juga memiliki kemahiran berkaitan wiring yang membolehkan ubah suaian motosikal menjadi lebih luar biasa.

"Kalau ada kerja-kerja wiring saya akan beri ke isteri saya untuk buat, selain wiring semua ubah suai dalam motosikal saya boleh buat.

"Ini kerana saya sering beri perhatian terhadap komponen dan bahagian lain seperti enjin, gearbox dan beberapa sistem lain. Itu memang boleh saya betulkan, tetapi untuk kerja-kerja wiring, saya akan minta bantuan isteri saya," katanya.

WhatsApp Image 2024-02-09 at 3.16.34 PM

Kerja-kerja pengubahsuaian motosikal Norton hybrid engine Harley Davidson.

Selain itu, dia menceritakan bahawa terdapat kira-kira 15 motosikal rakannya yang pernah dibaiki untuk menjadi lebih unik.

Kerja pengubahsuaian motosikal kebiasaannya dibuat di rumahnya sendiri yang terletak di Puncak Alam, Selangor kerana memiliki ruangan khas bengkel motosikal.

"Saya biasa baiki motosikal yang digunakan untuk racing, buat secara seronok-seronok sahaja sebab saya tak buka perniagaan motosikal, kadang kawan-kawan datang untuk set up motosikal.

"Tetapi sejak Covid-19 saya dah tak ambil motosikal orang lain, kekangan masa sebab saya ada kerja lain juga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram