Nur Izzah tak kisah tangan terluka, anggap pisau mahu jadi kawan di dapur


  • Hobi
  • Ahad, 10 Mac 2024

Nur Izzah Nadhirah Muhammed Anuai merupakan salah seorang pelajar yang baru menamatkan Program Chef Muda.

SEGELINTIR orang pasti berasa hidupnya seakan-akan tidak lengkap tanpa sebarang hobi yang boleh dibuat ketika waktu lapang.

Hobi bukan sahaja penting untuk mengisi masa yang terluang tetapi juga boleh menjadi sebagai salah satu cara untuk mengembangkan bakat terpendam dalam diri.

Bahkan ada yang menjadikan hobi masa senggang sebagai kerjaya untuk menambah pendapatan.

Itulah yang terjadi buat seorang wanita, Nur Izzah Nadhirah Muhammed Anuai yang mengubah minatnya menjadi profesion.

Nur Izzah yang kini baru habis menjalani latihan industri di Cafe Chef Wan, Taman Tun Dr Ismail, Selangor menjadikan hobi memasaknya sebagai kerjayanya.

Dia yang berumur 19 tahun mendedahkan minat dalam masakan berputik sejak berusia empat tahun.

"Waktu itu, saya darjah empat, teringin nak makan ayam lada hitam, ayah saya pun pesan dekat saya cuba memasak sendiri dan jangan mengharapkan orang.

"Jadi sejak itu saya tengok resipi di YouTube dan suka memasak sendiri, saya rasa masak adalah perkara yang menyeronokkan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Lunar bersyukur UPSI sediakan studio, mahu tembusi 'mainstream' dan guna RM20,000 duit kemenangan ALI2023 buat album

photo1709981540 (1)

Nur Izzah ditawarkan untuk bekerja secara tetap di Kafe Chef Wan selepas menamatkan latihan industri di tempat itu.

BACA LAGI: Pekak dan bisu tak halang Anne berkarya sebagai pereka grafik di Ascott Malaysia

Malah, Nur Izzah berkata, guru-guru juga menyedari minatnya terhadap masakan.

"Saya selalu buat sarapan pagi sendiri waktu sekolah dan masak untuk jamu kepada cikgu.

"Antara menu masakan yang saya pernah bawa sekolah ialah rendang ayam, mi kari, ayam masak tiram," katanya.

Mahu mengasah bakat terpendamnya, Nur Izzah memilih untuk mengikuti Program Chef Muda yang dijalankan selama tujuh bulan.

Program Chef Muda meliputi empat bulan untuk memperoleh Sijil Kehadiran Masakan Melayu dan penempatan kerja selama tiga bulan di Kafe Chef Wan.

Banyak masakan Melayu meliputi pelbagai negeri dipelajari semasa menjalani latihan industri di kafe Chef Wan.

"Kalau dengan cef Amir saya belajar masakan Melayu macam ambuyat, laksa Pahang, laksa Kelantan dan kalau dengan cef Suffi saya belajar masakan negara luar macam Indonesia dan Singapura," katanya.

Bertuah selepas menamatkan latihan industri dalam bidang masakan, Nur Izzah kini terpilih untuk diserap sebagai cold kitchen chef atau di kafe latihan industrinya.

Tidak mudah patah semangat, Nur Izzah berasa segala kepahitan semasa proses pembelajaran sebagai satu hal yang mampu mendorongnya mencapai kejayaan dalam bidang masakan.

"Saya pernah kena marah, menerima tekanan semasa bekerja tetapi dalam dalam stres itu ada kata-kata semangat yang mampu mendorong saya untuk teruskan usaha.

"Waktu latihan industri, anak kepada Chef Wan, iaitu cef Riz pun ada beritahu bahawa kalau kita nak jadi cef, mulakan dari bawah dan buat yang terbaik. Jangan mengalah.

"Kalau dimaki atau apa-apa kuatkan semangat dan abaikan kata-kata orang," katanya.

Nur Izzah turut menyifatkan kecederaan semasa bekerja adalah hal yang biasa buat dirinya.

"Kalau kita pegang pisau tiba-tiba luka tandanya pisau itu mahu kenal dengan kita. Saya pernah tangan luka teruk sebab nak cepat tetapi pakai sahaja plaster dan sarung tangan sebelum teruskan kerja.

"Pedih macam mana pun kena tahan juga sampai kerja siap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram