Cabar diri dengan hobi mendaki, ini ada 5 perkara untuk pendaki pemula 


  • Hobi
  • Selasa, 10 Jan 2023

Beberapa perkara seperti pilihan kasut dan pakaian perlu diambil kira sebelum melakukan aktiviti denai kembara.

TERDAPAT pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan bagi mengisi masa lapang dan dijadikan sebagai hobi.

Antara salah satu pilihan yang boleh dilakukan ialah mendaki atau denai kembara (hiking).

Selain daripada dapat menikmati kehidupan alam semula jadi dengan hidupan flora dan fauna, ini juga dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan daya pemikiran.

Segelintir berpendapat aktiviti ini sesuai untuk individu yang memiliki fizikal tertentu yang boleh dilakukan.

A couple hiking on Nanos Plateau in Slovenia against a blue sky

Pandangan itu jelas sekali meleset kerana bentuk fizikal bukan menjadi kayu ukur dalam melakukan sebarang aktiviti riadah.

Bagaimanapun pandangan doktor perlu diambil kira untuk melakukan sebarang aktiviti bagi mengelakkan daripada berlaku kemalangan.

Namun, sebenarnya terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti.

Berikut antara perkara yang perlu diambil kira sebelum melakukan aktiviti denai kembara buat pemula.

Regangan dan senaman

Bagi mengelakkan kekejangan otot, sebaiknya lakukan senaman regangan terlebih dahulu. Luangkan masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk melakukan senaman.

Ketika sedang melakukan senaman, beri tumpuan juga kepada bahagian tubuh yang mengalami sebarang kesakitan sewaktu sedang melakukan senaman panaskan badan.

Keperluan

Tentukan jenis barangan yang ingin dibawa bersama antaranya makanan, navigasi, peti pertolongan cemas dan sebagainya.

Jangan bawa barangan yang boleh membebankan perjalanan anda sepanjang sesi pendakian.

Ini kerana bebanan barangan tersebut boleh menyebabkan anda cepat keletihan selain mengundang kesakitan otot termasuk bahagian pinggang atau bahu kerana perlu memikulnya.

Jenis pakaian

ezgif-5-81853fa006

Pakai pakaian yang bersesuaian dan selesa. Pilih pakaian yang menyerap peluh seperti poliester atau nilon. Jangan memakai pakaian yang lambat kering seperti jeans kerana bukan sahaja berasa tidak selesa, tetapi turut akan menyebabkan kesukaran pergerakan

Begitu juga dengan pemilihan kasut yang kesat dan tidak licin. Perkara itu boleh mengelakkan daripada tergelincir.

Pilih tapak kasut yang sesuai dengan permukaan bentuk kawasan berbukit dan bertanah. Tidak salah untuk lebihkan sedikit belanja untuk mendapatkan kasut but tahan lasak.

Info tambahan

Sebelum memilih sebarang lokasi untuk melakukan aktiviti denai kembara, lakukan beberapa siasatan terlebih dahulu seperti jarak laluan, cuaca, keupayaan kecergasan dan logistik ke kawasan terbabit.

Persediaan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan daripada tersesat atau memasuki kawasan larangan.

Need some energy before trip at mountain

Cari kawan

Di zaman teknologi ini mudah untuk kita membuat kawan atau mencari teman. baharu. Pencarian boleh dilakukan secara atas talian seperti Facebook dan Instagram.

Jika tidak mempunyai teman atau kawan yang meminati perkara yang sama, boleh dapatkan rakan baharu dalam talian.

Perkara ini dapat membantu untuk saling bertukar pandangan dan pengalaman. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram