PELAKON, Azhan Rani tidak sabar untuk memulakan misi Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak & Everest Base Camp (EBC) di Nepal yang cuma berbaki lima hari lagi bermula Ahad depan.
Azhan yang bakal muncul dalam telemovie Khunsa pada Ramadan nanti berkata, dia bersama pasukannya bersedia untuk menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter (m) atau 2,120 kaki dari aras laut tersebut walaupun masing-masing mempunyai rasa debaran kerana setiap pendakian itu mempunyai kisah tersendiri.
"Setelah lebih setahun merancang dan melakukan latihan serta persediaan rapi, hari ini adalah sesi latihan intensif terakhir kami.
"Ia melibatkan sesi latihan kardio dan ketahanan fizikal serta sesi suai kenal bersama pendaki lain yang akan turut serta ke Island Peak serta EBC.
"Kami rasa teruja kerana pendakian ini bukan misi peribadi tetapi ia adalah misi pendakian amal bagi mengutip dana untuk disalurkan tabung Ahsana.
"Saya dan SAR turut berterima kasih pada badan dan individu yang sama-sama menyumbang bagi menjayakan misi ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan intensif fasa akhir yang diadakan di Hillrock Resort, Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor pada Isnin.
BACA LAGI: Jerawat batu juga bisul, ketahui jenis dan cara rawatan
Azhan (duduk, kanan) bersama barisan pendaki Island Peak dan EBC bergambar bersama kru SAR dan Kembara Kosmopolitan selepas selesai sesi latihan intensif akhir di Hillock Resort, Hulu Tamu pada Ahad.
BACA LAGI: Ketahui 4 keadaan boleh akibatkan pembuluh darah pecah dan cara cegah
Sesi latihan yang meliputi "lower body and core workout" itu turut memerlukan pendaki melakukan larian sejauh lima kilometer.
Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024 membabitkan keseluruhan 13 orang pendaki yang akan mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula Ahad sehingga 13 Mac ini.
Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak manakala lapan lagi melengkapkan misi ke EBC setinggi 5,364m atau 17,598 kaki dari aras laut.
Program amal anjuran Summit Attack Resources dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu adalah cetusan idea Azhan.
Majlis 'flag off' kesemua pendaki tersebut akan dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad pukul 3 petang Ahad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram